Malaysia telah membuat bayaran kos penangguhan pelaksanaan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), kata Kementerian Pengangkutan republik itu.
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Singapura masih lagi dalam proses rundingan berhubung Projek Keretapi Laju Kuala Lumpur- Singapura (HSR).

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kedua-dua negara mempunyai tempoh sehingga 31 Disember ini bagi melakukan proses rundingan tersebut.

“Merujuk kepada beberapa berita yang diterbitkan baru-baru ini berhubung Projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur – Singapura, Malaysia dan Singapura masih lagi dalam proses rundingan terhadap beberapa cadangan yang dikemukakan oleh Malaysia bagi menambahbaik projek ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mustapa, kerajaan akan membuat pengumuman selepas kata putus dicapai dan proses rundingan tersebut selesai.

Semalam, sebuah media Singapura melaporkan, Malaysia telah mencadangkan beberapa perubahan terhadap projek HSR tersebut.

Memetik seorang jurucakap daripada Kementerian Pengangkutan republik tersebut, Singapura dikatakan tetap komited untuk memenuhi tanggungjawab di bawah Perjanjian Dua Hala HSR.

Katanya, sekiranya, Malaysia tidak meneruskan projek tersebut mengikut perjanjian yang telah dipersetujui sebelum ini, Malaysia perlu membayar kos yang telah dikeluarkan oleh Singapura dalam memenuhi obligasi Perjanjian Dua Hala HSR.- MalaysiaGazette