Sehingga kini, tiada laporan diterima Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung jangkitan Covid-19 daripada sarung tangan.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA- Sehingga kini, tiada laporan diterima Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung jangkitan Covid-19 daripada sarung tangan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pengeluaran sarung tangan akan melalui proses tertentu melibatkan keselamatan.

“Setakat ini tiada laporan jangkitan daripada sarung tangan yang didokumentasikan,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kebimbangan yang tercetus mengenai jangkitan Covid-19 pada sarung tangan berikutan menularnya pandemik berkenaan dalam kalangan pekerja kilang Top Glove, kilang pembuat dan pengeluar sarung tangan terkemuka.

Setakat ini, Kluster Teratai yang membabitkan jangkitan dalam kalangan pekerja dan ahli keluarga syarikat itu merekodkan 4,124 kes positif daripada 6,553 individu yang disaring.

Top Glove Corporation Bhd pada Rabu lalu memberi jaminan bilangan kes jangkitan yang tinggi dalam kalangan pekerjanya tidak menyebabkan sarung tangan yang dihasilkan tercemar.

Selain penjelasan tentang suhu ketika pembuatan sarung tangan proses pembungkusan sarung tangan, syarikat itu juga berkata, pekerjanya dilengkapi dengan peralatan perlindungan diri dan tiada sentuhan langsung dengan sarung tangan.-MalaysiaGazette