Shamsul Anuar Nasarah

PUTRAJAYA – Tenaga Nasional Bhd (TNB) bersiap siaga menghadapi bencana banjir susulan kedatangan musim tengkujuh pada akhir tahun ini, termasuk menurunkan paras tasik (reservoir) di empangan hidro miliknya ke tahap minimum sebagai persediaan menerima aliran masuk (inflow) air hujan yang tinggi.

Menteri Tenaga Dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dalam kenyataan hari ini berkata TNB turut mengadakan latihan pengungsian (drill) bersama agensi-agensi kerajaan berkaitan dan penduduk sekitar.

“Selain menjana elektrik, empangan-empangan besar milik TNB turut berfungsi sebagai empangan tembatan banjir yang sangat diperlukan terutamanya ketika musim hujan lebat bagi mengelak berlakunya kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Dalam sesi taklimat bersama TNB dan Suruhanjaya Tenaga, katanya TNB memaklumkan pasukan teknikalnya serta aset-aset berkaitan akan turut digerakkan demi keselamatan dan keselesaan pengguna ketika banjir.

Bagi pengguna pula, katanya mereka disarankan untuk segera menghubungi TNB sekiranya premis atau kediaman mereka dinaiki air pada paras berbahaya supaya bekalan dapat dihentikan sementara bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

“Saya telah dimaklumkan bahawa apabila banjir surut dan keadaan kembali selamat, bekalan elektrik akan disambung semula oleh TNB,” katanya.

Menurut Shamsul Anuar, orang ramai juga dinasihatkan untuk menutup suis utama dan tidak menggunakan sebarang peralatan elektrik jika kediaman dinaiki air bagi mengelakkan risiko renjatan elektrik.

Selepas banjir surut, orang ramai diingatkan untuk membersihkan dan memeriksa dahulu pendawaian dan peralatan elektrik yang ditelenggami air sebelum digunakan bagi memastikan ia benar-benar selamat.

Shamsul Anuar berkata adalah lebih baik pengguna mendapatkan perkhidmatan juruelektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga untuk pemeriksaan dan pengujian pendawaian dan peralatan elektrik yang ditelenggami air.- BERNAMA