KUALA LUMPUR – Seorang wanita nyaris menjadi mangsa ragut ketika berjalan kaki seorang diri di taman perumahan di Gombak.

Kejadian dilaporkan berlaku jam 11.15 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, semasa kejadian mangsa yang berusia 37 tahun berjalan kaki seorang diri menuju ke rumahnya di Taman Kamariah dekat sini.

“Mangsa secara tiba-tiba didekati seorang lelaki bangsa tidak dikenali yang menunggang motosikal jenis Honda Wave berwarna merah.

“Suspek kemudian bertindak menarik beg tangan dari arah belakang mangsa yang berjalan seorang diri di jalan tersebut.

“Pengadu sempat melawan dan menarik semula beg tersebut sebelum menyebabkan tali beg pengadu telah terlepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selepas itu, katanya, suspek yang gagal meragut mangsa terus melarikan diri.

Menurutnya, mangsa yang juga pengadu tidak mengalami sebarang kerugian dan kecederaan.

“Kes disiasat di bawah seksyen 393 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian ini diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Atikah di talian 03-6126 2222 / HP : 018-3648044,” tegasnya. – MalaysiaGazette