bursa ringgit
Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Selepas menyaksikan minggu urus niaga yang tidak menentu kerana menantikan keputusan sesi undian Parlimen untuk Belanjawan 2021 yang menyebabkan kegelisahan dalam kalangan pelabur, Bursa Malaysia kini telah bersedia untuk kembali mencatatkan peningkatan.

Seorang broker saham berkata momentum aliran menaik sudah pasti kerana paras FBM KLCI telah kembali melepasi paras 1,600 dan indeks kekuatan relatif juga telah melebihi 50, sekali gus menunjukkan tanda peningkatan.

‘’Sektor kitaran dijangka menjadi tumpuan pada minggu akan datang dengan permintaan diramal meningkat, dipacu oleh lanjutan automatik moratorium pinjaman untuk B40 dan berasaskan kes untuk M40 .

“Ini akan merancakkan lagi permintaan dan mengurangkan beban kewangan mereka yang terkesan oleh COVID-19 yang melanda pada masa ini,” kata beliau.

Sekiranya tiada sebarang halangan, FBM KLCI mampu melepasi paras tertinggi satu tahunnya iaitu 1,618.68.

Di carta pergerakan untuk tempoh 52 minggu, indeks bergerak antara 1,207.82 sehingga paling puncak 1,618.68.

Dalam minggu urus niaga, pasaran ekuiti telah dikejutkan dengan berita mengenai kilang pembuatan Top Glove yang menyaksikan sebilangan besar pekerjanya terkena jangkitan COVID-19.

Laporan itu menyebabkan saham kaunter itu merosot enam peratus dalam tempoh dua hari sebelum bangkit semula pada Jumaat, sebahagiannya disebabkan oleh belian balik saham oleh syarikat itu.

Saham-saham teknologi turut mengalami kenaikan, disokong oleh pendapatan korporat dan tinjauan pasaran yang baik sementara saham tenaga mempamerkan pengukuhan berikutan harga minyak yang stabil.

Sementara itu, saham berharga murah terus tertekan kerana saham-sahamnya mudah dipengaruhi oleh sebarang perkembangan pasaran.

Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, indeks FBM KLCI menokok 13.84 mata.

Di papan skor, Indeks FBM Emas melonjak 78.15 mata kepada 11,542.03, Indeks FBMT 100 mengukuh 74.27 mata kepada 11,321.15, dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 47.14 mata kepada 13,268.91.

FBM 70 naik 5.62 mata kepada 14,740.39 dan Indeks FBM ACE merosot 564.04 mata kepada 10,589.59.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 212.78 mata kepada 14,236.10, Indeks Perladangan susut 108.59 mata kepada 7,235.89, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 2.30 mata kepada 162.48.

Indeks Teknologi naik 1.23 mata kepada 64.93, sementara Indeks Penjagaan Kesihatan meningkat 6.72 mata kepada 3,966.36.

Jumlah dagangan mingguan turun kepada 45.97 bilion unit bernilai RM23.18 bilion daripada 65.45 bilion unit bernilai RM29.40 bilion minggu lalu.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama menyusut kepada 20.46 bilion bernilai RM17.16 bilion daripada 32.66 bilion saham bernilai RM21.85 bilion.

Perolehan waran merosot kepada 3.30 bilion bernilai RM586.75 juta daripada 5.58 bilion unit bernilai RM799.64 juta pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan ACE menguncup kepada 19.39 bilion saham bernilai RM5.40 bilion daripada 28.82 bilion saham bernilai RM6.75 bilion. – MalaysiaGazette