Aktivis Sahabat Damansara, Amin Shukor bercakap kepada media selepas mengadakan demonstrasi aman bantahan pembinaan jambatan di penghujung Jalan Teratai 6 untuk menjadi laluan utama shuttle bas dan keluar masuk bagi projek LRT3 Kampung Sungai Kayu Ara, Damansara. foto MOHD ADZLAN, 28 NOVEMBER 2020.

DAMANSARA – Penduduk-penduduk di Jalan Teratai PJU6 Kg Sungai Ara, Damansara tidak puas  hati apabila jalan itu akan digunakan sebagai laluan utama ke projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Stesen Kayu Ara.

Rata-rata mereka menyifatkan jalan berkenaan sebagai tidak strategik kerana kawasan tersebut padat dan jalan pula sempit.

Aktivis Sahabat Damansara, Amin Shukor berkata, pemilihan laluan utama ke stesen LRT 3 yang kini dalam fasa pembinaan  itu pastinya menyusahkan penduduk.

Sebahagian penduduk  memegang  plakad bantahan semasa mengadakan demonstrasi aman  pembinaan jambatan di  Jalan Teratai 6 untuk laluan utama shuttle bas dan keluar masuk bagi projek LRT3 Kampung Sungai Kayu Ara, Damansara. foto MOHD ADZLAN, 28 NOVEMBER 2020.

Penduduk di Jalan Teratai itu bakal berhadapan dengan masalah kesesakan lalu lintas keluar, masuk ke kediaman mereka, selain tempat parkir bakal terjejas.

“Ada laluan yang lebih mudah untuk keluar sebenarnya. Kenapa mesti guna laluan ini yang dekat dengan kepadatan penduduk,” katanya ketika hadir pada Demonstrasi Bantahan sebentar tadi.

Tegasnya, keputusan untuk memilih jalan berkenaan sebagai laluan utama untuk projeki tu dibuat tanpa mengambil pandangan dan pendirian penduduk di situ.

“Peliknya mengapa tidak berbincang dengan penduduk, itu yang menjadi keraguan kami. Mereka berhak untuk tahu.

“Oleh itu, kami menuntut pihak-pihak terbabit memberi penjelasan,” tambahnya.

Lebih teruk lagi apabila, pertemuan yang dijadualkan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin untuk membincangkan isu berkenaan tidak jadi.

“Pada 25 Ogos telah dihantar kepada Datuk Bandar minta pinda laluan LRT3 stesen Kayu Ara. Sepatutnya 14 Oktober ada sesi pendengaran dengan Persatuan Penduduk dengan Jamaliah Jamaluddin tapi tidak ada berlaku, dia beri alasan,” katanya lagi.

Seorang penduduk, Nor Sawaalidon Mohd Noor, 62, berkata, beliau tidak menolak pembangunan tetapi penduduk berdepan dengan risiko keselamatan.

 Nor Saawaludin Mohd Noor menunjukkan notis pembinaan  LRT3 semasa mengadakan demonstrasi aman bantahan pembinaan jambatan di  Jalan Teratai 6  bagi projek LRT3 Kampung Sungai Kayu Ara, Damansara. foto MOHD ADZLAN, 28 NOVEMBER 2020.

Beliau turut mempertikaikan sama jalan tersebut bakal digunakan sebagai laluan utama ke LRT Stesen Kayu Ara setelah ia siap kelak.

“Bagaimana keselesaan keluar masuk penduduk nanti, apabila pelebaran dilakukan nanti parking kenderaan terjejas.

”Untuk maklumat LRT Kayu Ara bukan dekat dengan jalan ini tetapi lebih dekat 300 meter ke jalan Lorong Masjid 2.

“Jadi  kenapa dipilih jalan ini kerana ada lencongan, itu satu persoalan buat kami,” katanya.

Beliau berharap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan ADUN yang bertanggungjawab tampil membantu menyelesaikan masalah ini.

Dalam pada itu Amin tidak menolak untuk membantu penduduk di Jalan Teratai untuk memanjangkan isu ini sehingga ke pengetahuan Istana Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya wujud perkara yang mencurigakan.

Pembinaan LRT 3 Kayu Ara bermula pada 26 November 2020 dan dijangka siap pada 17 Mac 2021. -MalaysiaGazetee