Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal hadir pada Perhimpunan Agung Tahunan Kali Ketiga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Premiera Hotel, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 28 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) membentangkan lima teras untuk dipertimbangkan oleh Perikatan Nasional (PN) dalam usaha memastikan parti itu terus mengorak langkah ke hadapan.

Lima teras tersebut dipecahkan pula kepada 13 usul yang kesemuanya dipercayai mampu membebaskan masyarakat daripada belenggu penjajahan.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, lima teras itu adalah belia kunci kemenangan, anak muda mahir dan maju, kehidupan berkualiti, golongan rentan dan Malaysia di persada dunia.

Menurut Wan Ahmad Fayhsal, belia hari ini dikepung oleh pelbagai cabaran yang antaranya adalah pengangguran dan kerja tidak sepadan, kurang jati diri dan tiada pemberdayaan serta hala tuju jelas yang akhirnya menyumbang kepada golongan belia resah serta bergelut dengan cabaran sekunder seperti
kesihatan mental dan kebejatan sosial.

“Armada sebagai wahana pemuda perlu memecahkan ‘Dilema Melayu’ yang belum kunjung habis ini, seterusnya melakar tawaran-tawaran konkrit untuk memerdekakan kita sebagai bangsa yang bermaruah dan berdaulat dari segi geopolitik, ekonomi, teknologi dan budaya.

“Penjajah luar sudah lama dihambat keluar dari Carcossa Seri Negara, yang tinggal dan masih berakar adalah kelemahan dalam diri kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Armada pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali ketiga secara virtual hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, belia mempunyai cabaran dalam membebaskan masyarakat daripada belenggu penjajahan tidak tampak, penjajahan dari dalam demi mencapai kemerdekaan kedua yang dapat merawat penyakit tiga serangkai.

Jelas beliau, jika ditanya kepadanya tiga penyakit itu adalah kekerdilan jiwa, kemiskinan akhlak dan minda tertawan.

Tambahnya, Melayu ini bukanlah sekadar bangsa tuan-tuan sebaliknya Melayu adalah sebuah peradaban sebelum diratah penjajah barat yang kemudiannya dijadikan pula sebagai lembaran sejarah agung.

Katanya, undang-undang yang berdaulat memberi keadilan perdagangan serantau dan sejagat serta sistem politik demokratik yang jauh lebih awal daripada barat.

Jelas beliau, budaya yang halus lagi tinggi mencipta makna diri yang luhur dan dihormati dan itulah Melayu dan pribumi sebuah bangsa yang bermaruah dan disegani.

“Perjuangan Melayu dan Pribumi bukanlah agenda yang baharu. Perjuangan Pemuda Bersatu adalah sambungan rantai perjuangan yang panjang, maka bertuahlah kita ditakdir menjadi pengikat kesinambungan perjuangan ini.

“Kedudukan unik Bersatu di teras pemerintahan negara meletakkan beban yang besar di bahu kita. Memandangkan pengundi muda akan membentuk kumpulan terbesar dalam pilihanraya akan datang, kejayaan parti bergantung sepenuhnya kepada tawaran yang mampu menarik minat dan menepati citra dan aspirasi mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette