Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Para majikan boleh mendaftar permohonon pekerja mereka untuk mengekalkan caruman syer pekerja pada kadar 11 peratus bermula 14 Disember 2020.

Pendaftaran permohonan ini hanya boleh dilakukan melalui portal i-Akaun (Majikan), adalah selaras dengan langkah KWSP untuk memastikan penjarakan fizikal dipatuhi serta mengurangkan interaksi secara bersemuka untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkata, dalam tempoh ini, kehadiran majikan di cawangan KWSP adalah terbatas manakala aktiviti lawatan Pegawai KWSP ke premis majikan akan dihadkan.

Majikan hanya boleh hadir ke cawangan KWSP untuk tujuan pendaftaran majikan dengan membuat janji temu terlebih
dahulu melalui saluran Janji Temu Online (www.kwsp.gov.my/janjitemu).

Pembayaran caruman bulanan KWSP serta Caj Lewat Bayar & Dividen boleh dibuat melalui saluran i-Akaun (Majikan), perbankan internet, dan kaunter ejen bank yang dilantik.

Bagi urusan-urusan yang lain termasuk khidmat nasihat berkaitan majikan dan pengurusan akaun majikan, para majikan boleh berhubung terus dengan Pegawai Khidmat Nasihat Majikan yang ditugaskan kepada syarikat masing-masing. – MalaysiaGazette