Gambar tiga lelaki bersama keranda Diego Maradona telah menyebabkan mereka diancam oleh penyokong-penyokong lagenda bola sepak itu. foto Agensi

BUENOS AIRES – Seorang pekerja yang terlibat dalam acara pengebumian Diego Maradona memohon maaf daripada penyokong lagenda bola sepak itu selepas bertindak mengambil gambar di sebelah keranda.

Dalam gambar yang tular, Claudio Fernández berdiri di sebelah keranda Maradona yang terbuka, di samping anaknya, yang memberi isyarat bagus.

Seorang lagi lelaki yang mengambil gambar sama juga telah menimbulkan kemarahan ramai.

Maradona meninggal dunia di rumahnya di Tigre, berhampiran Buenos Aires, pada hari Rabu lalu akibat serangan jantung.

Gambar-gambar itu muncul dalam media sosial ketika keranda Maradona ditempatkan di istana presiden.

Peguam pemain bola sepak, Matías Morla, telah berjanji untuk mengambil tindakan terhadap individu-individu berkenaan.

Fernandez memberitahu Radio 10 pada hari Jumaat bahawa keputusannya untuk mengambil gambar itu adalah “secara tiba-tiba”.

“Anak saya, seperti setiap anak, mengangkat ibu jarinya dan mereka mengambil foto itu. Saya tahu ramai orang tersinggung,” katanya.

Malah, Fernández memberitahu, beliau menerima ancaman bunuh.

“Mereka ancam untuk membunuh kami, patahkan kepala kami,” kata Fernandez.

Syarikat yang menguruskan acara pengebumian itu berkata, tiga lelaki terbabit telah membantu mengangkat keranda tersebut.

Pengurusnya, Matías Picón berkata, tindakan ketiga-tiga lelaki berkenaan ‘menghancurkan’ reputasi syarikat berkenaan. – MalaysiaGazette