Gambar hiasan

LONDON –  Lebih dari 1,300 orang di Britain telah dimaklumkan secara tidak tepat bahawa mereka dijangkiti koronavirus setelah berlaku kesilapan pada sistem penjejakan dan ujian NHS di makmal.

“Ini bermakna ujian yang diambil antara 19 November dan 23 November lalu adalah tidak sah,” kata Jabatan Kesihatan dan Penjagaan Sosial.

Menurutnya, tindakan pantas telah dilakukan kepada mereka yang terlibat dan meminta mereka melakukan ujian lain dan kekal kuarantin jika mempunyai gejala.

“Kesilapan makmal yang menyebabkan masalah adalah ‘insiden terpencil’ yang sedang disiasat.

Pada bulan September, hampir 16,000 rekod kes positif hilang daripada sistem selama beberapa hari – menyebabkan kelewatan dalam mengesan kontak.

Uji NHS dan Sistem Jejak NHS telah dikritik hebat setelah beberapa siri kegagalan berprofil tinggi sejak dilancarkan awal tahun ini dan para menteri mengakui sistem berkenaan tidak menunjukkan prestasi seperti yang  harapkan.

Kerajaan Britain telah mengumumkan tambahan 7 bilion pound untuk saringan Covid-19 dan sistem jejak kontak sebagai sebahagian daripada perluasan program ujian.

United Kindom melaporkan 1.6 juta kes jangkitan Covid-19 dan lebih 57,500 kematian. – MalaysiaGazette