Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan pemeriksaan terhadap pekerja-pekerja sebuah tapak pembinaan yang disyaki kontak rapat kes positif Covid-19 semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 29 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Seramai 482 individu daripada Kluster Tapak Bina Awan Baru membabitkan pekerja pembinaan di daerah Kepong dan Bandar Baru Sentul telah menjalani ujian saringan Covid-19 sehingga jam 8 malam semalam.

Daripada jumlah itu, sebanyak 410 kes, atau 85.1 peratus, dilaporkan positif daripada kluster baharu itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, penilaian risiko dan pengesanan kontak rapat di kawasan tapak bina dan kawasan sekitar tempat kerja telah dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Kepong sejak kelmarin.

“Tapak bina ini telah ditutup di bawah seksyen 18 (1) (f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) pada 27 November 2020 bagi tujuan pembersihan dan disinfeksi.

Bas yang membawa pekerja-pekerja sebuah tapak pembinaan yang disyaki kontak rapat kes positif Covid-19 semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 29 NOVEMBER 2020

“Tenaga kerja adalah merupakan aset berharga bagi sesebuah syarikat mahupun organisasi. Ini termasuklah pekerja warganegara mahu pun bukan warganegara,” katanya laman Facebook beliau hari ini.

Menurutnya Dr. Noor Hisham, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada penularan penyakit berjangkit dalam kalangan pekerja membabitkan tempat penginapan, kebersihan kendiri dan persekitaran tempat tinggal serta tempat kerja.

Berikutan itu beliau meminta majikan memainkan peranan lebih besar dalam sama-sama mengekang penularan virus tersebut.

Ujarnya, selaras dengan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446), masalah penginapan pekerja warga asing yang sempit dan sesak perlu ditangani segera bagi memastikan ianya tidak menjadi punca penularan jangkitan COVID-19 dan lain-lain penyakit berjangkit.

“Sehubungan itu, KKM menyambut baik tindakan penguatkuasaan Akta 446 ini oleh pihak Kementerian Sumber Manusia ke atas pihak majikan yang gagal mematuhi ketetapan akta tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette