Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe menunjukkan cat yang digunakan oleh tiga pemuda untuk menyimbah cat ke rumah dan kenderaan mangsa dengan diupah sebanyak RM300 daripada arahan Ah Long berjaya ditumpaskan pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 30 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kerjanya mudah, hanya perlu menyimbah cat merah ke arah rumah atau kenderaan peminjam wang daripada Ahlong dan dibayar RM300 sebagai upah untuk kerja tersebut.

Mereka yang menggangur dan pelajar sekolah yang baru tamat pengajian merupakan antara golongan sasaran seorang individu untuk melakukan perbuatan yang bertentangan dengan undang-undang itu.

Pengambilan pekerja sambilan itu dilakukan melalui iklan yang disiarkan pada laman media sosial.

Namun kegiatan itu terbongkar selepas orang awam menahan tiga lelaki yang berkeliaran dalam keadaan mencurigakan di Jalan Bukit Permata, Gombak pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, hasil siasatan mendapati tiga suspek yang berusia antara 20 hingga 25 tahun itu telah ditawarkan upah untuk menyimbah cat ke atas rumah dan kenderaan.

Katanya, suspek-suspek itu tidak tahu motif mereka menyimbah cat dan apa yang perlu dilakukan ialah menghantar gambar kepada seorang lelaki dikenali sebagai Kelvin selepas selesai kerja yanh diberikan itu.

“Berikutan tangkapan ketiga-tiga pemuda itu, pihak polis berjaya merampas beberapa telefon bimbit, komputer riba serta beberapa tong dan botol berisi cat merah dalam dua kenderaan yang dinaiki tiga suspek tersebut.

“Semakan lanjut polis juga mendapati sehingga kini enam laporan berhubung kejadian simbah cat ini dilaporkan di daerah Gombak sejak awal tahun ini membabitkan suspek berkenaan,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Arifai, siasatan polis juga mendapati Kelvin mengiklankan pekerjaan itu menerusi laman media sosial

“Bertindak atas maklumat kita berjaya memberkas Kelvin di rumah sewanya di Kajang sekitar malam pada hari yang sama ketiga-tiga suspek itu ditahan.

“Hasil siasatan awal polis percaya suspek (Kelvin) merupakan orang tengah kepada sindiket Ahlong dengan menerima upah bagi melakukan kerja-kerja menyimbah cat.

“Mereka direman untuk disiasat dibawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang dan 506 Kanun Keseksaan untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette