Persidangan Parlimen secara hibrid sedang dibincangkan.

KUALA LUMPUR- Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi undi belah bahagian.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan keputusan undian berkata sejumlah 105 undi menyokong, 95 tidak bersetuju, manakala 20 ahli Parlimen tidak hadir.

Undi belah bahagian itu diadakan selepas lebih 15 ahli Parlimen bangun meminta proses belah bahagian dilakukan.

Lima kementerian di bawah JPM iaitu ialah Hal Ehwal Undang-Undang (Datuk Takiyuddin Hassan), Hal Ehwal Ekonomi (Datuk Seri Mustapa Mohamed), Hal Ehwal Agama (Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad), Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (Datuk Seri Maximus Ongkili) dan Tugas-Tugas Khas (Datuk Seri Mohamad Redzuan Md Yusof).

Sebelum sesi undian, Dewan Rakyat direhatkan 10 minit bagi membolehkan ahli Parlimen masuk mengundi untuk RUU tersebut.

Ketika tempoh 10 minit diberi Dewan Rakyat kecoh seketika apabila wakil rakyat pembangkang mempersoalkan beberapa wakil kerajaan dilihat masuk Dewan Rakyat ketika tempoh 10 minit undi dijalankan.

“Ini tidak adil, Kota Bharu baru masuk nak undi,” teriak beberapa ahli Parlimen pembangkang.

Bangun mencelah, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim (UMNO) yang berkata, ahli-ahli Parlimen masih boleh memasuki dewan untuk sesi pengundian.

“Selagi undi tidak diumum, boleh mengundi,” katanya.

Dalam Belanjawan 2021, JPM diperuntukkan RM11.69 bilion dengan RM4.47 bilion untuk tujuan perbelanjaan mengurus dan RM7.2 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.