Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Malaysia mencatatkan pertambahan kes baharu Covid-19 hari ini sebanyak 1,472 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula direkodkan sebanyak 10,495 kes.

Menurutnya, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala sebanyak 1,467 kes pula adalah merupakan penularan dalam negara.

“Secara keseluruhan dalam tempoh seminggu yang lepas, negeri-negeri di seluruh Malaysia telah menunjukkan jumlah pelaporan kes harian yang lebih stabil.

“Sebahagian besar daripada kes-kes yang dilaporkan kebelakangan ini adalah berpunca dari tapak binaan dan kilang.

“Angka yang tinggi ini adalah susulan perluasan pengesanan kes secara aktif dan pengesanan kontak rapat yang dijalankan di lapangan.

“Kluster Teratai sahaja pada hari ini telah melaporkan sebanyak 778 kes atau 52.9 peratus daripada keseluruhan jumlah kes harian untuk negara dan menyumbang kepada 87.3 peratus daripada kes harian yang dilaporkan di negeri Selangor atau 891 kes,” katanya menerusi kenyatan perkembangan terkini Covid-19, hari ini.

Sementara itu Noor Hisham berkata, bilangan kes sembuh daripada wabak tersebut hari ini adalah sebanyak 1,552.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih dan dibenar discaj adalah 56,311 kes atau 83.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Bagaimanapun katanya, terdapat pertambahan tiga lagi kes
kematian pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Malaysia iaitu sebanyak 363 kes atau 0.54 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Noor Hisham turut memberitahu, sehingga kini, terdapat 120 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 44 kes memerlukan bantuan pernafasan. – MalaysiaGazette