Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed bercakap pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 01 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu seorang individu rakyat tempatan bernama Sebastian yang telah mengeluarkan kenyataan menghasut Yang di-Pertuan Agong (YDPA) serta mengeluarkan ugutan tembak ke atas Ketua Polis Negara (KPN).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, polis membuka dua kertas siasatan ke atas individu yang kini dikehendaki polis.

“Polis terkesan pada 13 November lalu mengenai tindakan Sebastian mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan menghina YDPA.

“Kita buka kertas siasatan di bawah Seksyen 41 Akta Hasutan 1948 dan menyiasat suspek,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Tambah beliau, tidak terhenti setakat itu, tindakan suspek yang mengulangi perbuatan sama mengeluarkan ugutan tembak ke atas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador semalam turut dikesan polis.

Katanya, polis membuka kertas siasatan kedua di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

“Tindakan mengesan suspek telah diperhebatkan oleh polis.

“Ada yang nyatakan dia tidak siuman dan ada masalah mental, selain kononnya berada di luar negara. ya ke atau tidak segala dakwaan itu, kita tak kisah.

“Kami akan mengesan dan tangkap dia untuk siasatan ugutan dan hasutan yang dia lakukan,” katanya. – MalaysiaGazette