KUALA LUMPUR – Selepas gambar tidak memakai pelitup muka tular di laman media sosial dan menjadi pertikaian hebat dalam kalangan netizen pada Ahad lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini tampil menafikannya.

Katanya, gambar yang diambil dan tersebar itu tidak menunjukkan keadaan sebenar apabila diambil daripada tepi ketika beliau membuat lawatan kerja di Melaka pada Sabtu lalu.

Ismail Sabri berkata, kesemua yang hadir termasuk beliau ketika itu mematuhi penjarakan fizikal.

Beliau dalam masa yang sama menyifatkan gambar berkenaan adalah cubaan memfitnahnya.

“Beberapa gambar menjadi bahan fitnah terhadap saya dan YAB Ketua Menteri Melaka (Datuk Sulaiman Md Ali), serta YB Speaker DUN Negeri Melaka (Datuk Seri Ab Rauf Yusoh) sewaktu saya melakukan lawatan kerja ke Melaka Sabtu lepas.

“Kononnya tiada penjarakan sosial antara kami. Yang jahatnya, mereka menunjukkan gambar dari sisi bagi menunjukkan kedudukan kami tanpa penjarakan.

“Namun ini lah gambar sebenarnya.. Semoga Allah membuka hati-hati mereka ini supaya tidak lagi membuat fitnah kepada sesiapa jua selepas ini,” tulisnya di Facebook.

Pada Ahad yang lalu dua keping gambar Ismail Sabri yang tidak memakai pelitup muka tular hari ini menimbulkan rasa tidak puas hati netizen.

Warganet rata-rata mempersoalkan penjarakan ‘Pak Long Mail’ ketika berada dalam satu acara santai yaang turut dihadiri beberapa pemimpin kerajaan Negeri Melaka antaranya Sulaiman. – MalaysiaGazette