Gambar hiasan

ALOR SETAR – Mayat kanak-kanak perempuan Orang Kurang Upaya (OKU) yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Sedim di Kampung Bikan Atas Labu Besar, dekat Kulim petang semalam, ditemukan pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Supt Azhar Hashim berkata, mayat Irdina Aleesya Zamri, 8, dijumpai anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang melakukan pencarian pada pukul 7.50 pagi, kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

“Dalam kejadian kira-kira 6 petang semalam, ibu mangsa menyedari mangsa tiada di rumah sebelum keluar mencari mangsa bersama beberapa ahli keluarga yang lain di sekitar kawasan rumah sehingga ke Sungai Sedim yang terletak kurang 100 meter dari rumah mereka.

“Ibu mangsa telah menjumpai selipar dan tuala milik mangsa di kawasan tebing sungai berkenaan dan mengesyaki anaknya telah jatuh ke dalam sungai. Polis menerima laporan kejadian pada pukul 6.40 petang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Azhar berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

“Saya ingin mengingatkan ibu bapa supaya mengawasi anak-anak terutamanya ketika musim hujan ini dan menjauhi kawasan sungai memandangkan paras air naik akibat hujan lebat,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, operasi mencari mangsa di lokasi dilakukan sebaik menerima panggilan mengenai kejadian itu.

“Operasi mencari mangsa di permukaan air di kawasan tebing sungai telah dijalankan sehingga pukul 1 pagi sebelum ia ditangguhkan. Operasi yang dijalankan semula pagi ini, menjumpai mayat mangsa,” katanya. – Bernama