Mohd Rani Hisham Samsudin

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan pelantikan Mohd Rani Hisham Samsudin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuatkuasa hari ini.

Pengerusi KTMB, Datuk Rameli Musa berkata, pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Kamarulzaman Zainal yang tamat perkhidmatan pada 30 November lalu, selepas lebih setahun memegang jawatan tersebut.

“KTMB merakam ucapan terima kasih kepada Datuk Kamarulzaman di atas perkhidmatan beliau.

“Pelantikan CEO yang baharu berhadapan dengan cabaran tersendiri ketika syarikat mengalami penurunan jumlah penumpang yang ketara akibat penularan pandemik CoVid-19,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Mohd Rani mempunyai pengalaman menerajui syarikat itu selama dua tahun (2017 – 2019).

Rameli berkata, Mohd Rani perlu memastikan pelan pembangunan masa depan syarikat dapat dilaksanakan segera, seiring dengan senario semasa.

“Ini termasuk agenda pembiayaan operasi dan aset, pengukuhan struktur serta tata kelola organisasi dan mengoptimumkan nilai korporat penyedia pengangkutan rel utama negara itu,” tambahnya lagi.

Mohd Rani, 58, berkelulusan bidang Pengurusan Perniagaan dari Universiti Northrop, California, memulakan kerjaya profesionalnya dengan beberapa buah syarikat pengangkutan dan logistik di Amerika Syarikat.

Berpengalaman lebih 34 tahun dalam pengurusan logistik, pengangkutan awam dan kargo, beliau sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif, Kontena Nasional Berhad sejak Oktober tahun lepas. – MalaysiaGazette