Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 20 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini mengakui berlaku kesilapan dalam sesi undian belah bahagian peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan untuk Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan 2021), semalam.

Timbalan Yang Dipertuan Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon berkata, berlaku kesilapan dalam kiraan undi yang berlaku semalam.

“Saya ingin memaklumkan bahawa telah menerima pemakluman bahawa daripada Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya semalam undian bagi blok C semasa undian belah bahagian bagi kepala B 10,11, 12 anggaran perbelajaaan mengurus 2021 Kementerian Kewangan.

“Beliau yang merupakan penghitung bagi blok C memaklumkan bahawa beliau telah tersilap menandakan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz bersetuju dalam senarai undi walaupun sebenarnya dia tidak hadir semasa undian kedua semalam,” jelas Rashid.

Rashid berkata, Shabudin telah memasukkan Nazri dalam kelompok Ahli Parlimen yang bersetuju dalam undian belah bahagian semalam sedangkan beliau tidak berada dalam Dewan Rakyat.

Oleh yang demikian, keputusan undian semalam adalah 106 bersetuju, 95 tidak bersetuju dan 19 tidak hadir.

Ia dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Pengumuman itu ditentang Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Kata beliau, walaupun keputusan itu tidak merubah apa-apa, namum ia jelas mempertikaikan kredibiliti Dewan Rakyat.

“Bagaimana kita nak pastikan kesilapan seperti ini tidak akan berulang lagi, takkan Dewan Rakyat tidak ada sistem semak dan imbang,” soal beliau.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dalam pada itu mendesak agar Dewan Rakyat mengambil tindakan terhadap Shabudin kerana kesilapan beliau adalah maat serius.

“Saya minta Dewan kenakan tindakan kerana tuduhan ini serius, ini merupakan satu penipuan. Kalau perkara sebesar ini boleh ditipu bayangkan apa perkara lagi yang boleh ditipu oleh PN,” katanya.

Semalam, kerajaan Perikatan Nasional berjaya mengatasi blok pembangkang dalam undi belah bahagi peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan untuk Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan 2021) di Dewan Rakyat.

Kementerian Kewangan diperuntukan sebanyak RM35.1 bilion dalam Belanjawan 2021 iaitu RM20.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM14.1 bilion bagi perbelanjaan pembangunan. – MalaysiaGazette