KUALA LUMPUR – Malaysia merekodkan pelaburan bernilai RM109.8 bilion dalam sektor pengilangan, perkhidmatan dan sektor utama bagi tempoh sembilan bulan pertama 2020.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, jumlah tersebut melibatkan 2,935 projek dan akan mencipta 64,701 peluang pekerjaan di Malaysia.

Daripada jumlah pelaburan yang telah diluluskan, 61.2 peratus atau RM67.2 bilion adalah pelaburan langsung domestik (DDI) manakala baki RM42.6 bilion merupakan pelaburan langsung asing (FDI).

Antara negara yang menduduki tangga teratas sumber FDI bagi sektor pengilangan, perkhidmatan dan utama adalah China dengan RM17 bilion diikuti Singapura (RM8 bilion) dan Belanda (RM2.4 bilion).

Selangor, Sarawak, Sabah, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang merupakan lima negeri yang menyumbang hampir 70 peratus daripada pelaburan telah diluluskan bagi tempoh Januari hingga September 2020 dengan nilai sebanyak RM76.8 bilion.

Sektor pengilangan menarik hampir 60 peratus atau RM65.3 bilion daripada keseluruhan pelaburan diluluskan bagi tempoh tersebut.

Ini diikuti oleh sektor pelaburan dengan pelaburan sebanyak 39 peratus atau RM42.8 bilion dan sektor utama sebanyak 1.5 peratus atau RM1.7 bilion. – MalaysiaGazette