Mohamad Hasan

SEREMBAN – Hasrat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebaik sahaja pandemik COVID-19 berakhir disifatkan sebagai keputusan yang tepat bagi mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata majoriti tipis yang ada di pihak pemerintah ketika ini menyebabkan ia sering dipersoal dan keadaan itu tidak baik bagi sesebuah kerajaan.

“Kerajaan tidak seharusnya terlampau berfikir tentang politik, apabila mendapat mandat baharu nanti, menang atau kalah itu biasa, kalau menang menanglah, kalau kalah kalahlah kerana rakyat yang akan menentukan, sama ada cepat atau pun lambat.

“Rakyat dah sedar bahawa kerajaan dengan majoriti yang tipis tak akan mendatangkan kebaikan kepada rakyat. Hasrat yang dinyatakan oleh perdana menteri itu sesuatu yang baik, bagi saya baik untuk mendapatkan mandat daripada rakyat, bukan atas desakan sesiapa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di luar bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan semalam.

Sabtu lepas, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Perhimpunan Agung Tahunan 2020 parti itu memaklumkan bahawa PRU15 akan diadakan sebaik sahaja pandemik COVID-19 berakhir.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau enggan mengulas kenyataan mengenai isu jawatan Timbalan Perdana Menteri perlu diisi pemimpin UMNO.

“Presiden (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) sudah buat kenyataan, cukuplah,” katanya ringkas.

Semalam, media melaporkan bahawa Ahmad Zahid meminta agar pemimpin UMNO tidak mendesak Muhyiddin mewujudkan semula jawatan Timbalan Perdana Menteri dan memberikan kuota itu kepada parti tersebut.

— BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast