Kita dapat lihat ramai yang terkesan terutama dari golongan B40 dan M40. Kesan kepada mereka lebih jelas terutama B40 kerana kebanyakan mereka bekerja hanya untuk kelangsungan hidup memenuhi keperluan asas.- Gambar hiasan.

SAYU apabila membaca derita dan kesusahan rakyat Malaysia berdepan dengan wabak Covid-19.

Kita dapat lihat ramai yang terkesan terutama dari golongan B40 dan M40. Kesan kepada mereka lebih jelas terutama B40 kerana kebanyakan mereka bekerja hanya untuk kelangsungan hidup memenuhi keperluan asas.

Berdasarkan statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), setakat 28 Oktober, 90, 470 orang kehilangan pekerjaan dan dalam tempoh yang sama seramai 33 341 orang telah kembali mendapatkan pekerjaan.

Ini adalah apa yang kita dapat lihat berdasarkan data yang ada. Kemungkinan mereka yang terkesan adalah lebih besar jumlahnya.

Melihatkan trend ini, ianya patut di ambil berat kerana boleh menyumbang kepada pelbagai masalah seperti masalah sosial dan kesihatan mental

Antara masalah kesihatan mental seperti stres, risau, putus harapan merupakan peratusan terbesar seperti yang pernah disebut Menteri Kesihatan. Daripada 11 791 panggilan talian bantuan, 50 peratus adalah kes yang disebut diatas. Manakala lebih 400 kes yang diterima merupakan kes cubaan bunuh diri.

Sebagai Muslim, kita menginsafi bahawa segala yang berlaku ini adalah ujian dari Allah SWT. Setiap orang mempunyai kadar ujian tersendiri di musim pandemik ini. Kehilangan pekerjaan, kehilangan punca pendapatan mendorong kepada masalah keganasan rumah tangga dan sebagainya.

Secara individu, Islam mengajar kita bahawa ujian yang turun ini adalah sesuai dengan apa yang mampu kita pikul. Perlunya kita bersabar dengan ujian kerana sabar itu indah, dan ganjaran yang besar menanti mereka yang bersabar.

Kita juga disarankan untuk muhasabah akan salah silap yang mungkin telah kita lakukan atas kelalaian dan kecuaian kita dalam menegakkan hak Allah.

Sesungguhnya Allah sukakan orang yang bertaubat sepertimana yang disebut dalam hadis pengembara yang kehilangan untanya.

Tapi kita tak nafikan ada yang tidak mampu mendepani ujian ini kerana kelihatan begitu berat.

Di sinilah peranan masyarakat sebagai satu sistem sokongan sosial dan psikologi.

Inilah masa untuk kita buang sifat pentingkan diri dan saling cakna sesama masyarakat dalam membantu mereka yang kesusahan.

Dari satu sudut lagi, bagi mereka yang berkemampuan untuk menyumbang wang ringgit dan keperluan asas teruslah menyumbang kepada mana-mana NGO yang menjalankan khidmat sosial atau kepada individu.

Antara yang boleh dilihat usaha yang dijalankan Pemuda ISMA dengan kerjasama Yayasan Maghfirah secara konsisten memberi bantuan bulanan kepada keluarga terjejas.

Mereka yang diberikan kelebihan rezeki, saya mengajak untuk kita terus menyumbang.

Moga dengan asbab sumbangan kita itu, Allah swt memudahkan kita ke syurgaNya di akhirat kelak.- MalaysiaGazette

Dr Indra Putra Asrar

Dr Indra Putra Asrar (Pengerusi I-Medik Dungun)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast