Luis Suarez.

MADRID – Luis Suarez sekali lagi diuji positif Covid-19 dan terpaksa diketepikan daripada skuad Atletico Madrid dalam pertemuan menentang Bayern Munich pada saingan Liga Juara-Juara awal pagi esok.

Penyerang Uruguay itu sebelum ini terlepas tiga perlawanan bersama kelab termasuk aksi bertemu Barcelona selepas diuji positif Covid-19 ketika berkhidmat bersama skuad kebangsaan.

Walaupun tidak tersenarai dalam skuad 22 pemain oleh Atletico semalam, pengendalinya Diego Simeone tidak sepenuhnya mengetepikan bekas penyerang Barcelona itu.

“Virus ini sangat pelik kerana keputusan ujian mungkin negatif esok dan cergas dan dia masih lagi berlatih dan mahu membantu pasukan.

“Kami perlu menunggu dan melihat perkembangan terkini dan kemudian akan memberitahu anda (wartawan). Sehingga kini dia dalam keadaan baik ketika saya bercakap dengannya semalam,” kata Simeone.

Suarez adalah penjaring terbanyak Atletico musim ini selepas meledak lima gol dalam enam perlawanan La Liga sejak berhijrah dari Barcelona, September lalu.

Ketiadaannya satu tamparan buat Atletico kerana pemain kini berada dalam prestasi terbaik. – MalaysiaGazette