Datuk T. Mohan.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden MIC Datuk T. Mohan dan Presiden Persatuan Siam Malaysia Aknan a/l Ethook hari ini mengangkat sumpah sebagai senator bagi penggal kedua di Dewan Negara.

Kedua-dua mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim dan pelantikan mereka berkuat kuasa sehingga 2023.

Aknan, 58, berasal dari Tumpat, Kelantan dilantik pertama kali sebagai senator pada 15 Dis 2017.

Beliau pernah menjadi Setiausaha Bahagian, Bahagian Kemajuan Industri Sawit dan Sagu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) dan merupakan bekas Presiden Persatuan Buddha Selangor.

Mohan, 47, yang mengangkat sumpah pada 16 Nov 2017, pernah memegang jawatan Ketua Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan bagi tempoh 2009 hingga 2013 dan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), baru-baru ini.

Ketika ditemui media, Aknan berkata beliau akan terus membawa perjuangan isu-isu masyarakat Siam di Malaysia termasuk pembangunan ekonomi dan pendidikan.

Katanya, ia juga termasuk usaha mengiktiraf masyarakat Siam sebagai bumiputera yang kini masih dalam pertimbangan kerajaan.

“Saya juga gembira apabila kerajaan Malaysia memberikan Cuti Tanpa Rekod kepada masyarakat Siam untuk meraikan Pesta Shongkran di negara ini, ia menandakan penghargaan kepada masyarakat Siam dan kita dapat meraikan kebudayaan kita bersama-sama,” katanya.

Bagi Mohan, isu COVID-19 akan menjadi agenda utama untuk sama-sama membantu kerajaan dalam memastikan pandemik itu dapat dikawal sebaik mungkin.

Selaras dengan jawatannya sebagai Timbalan Pengerusi NIOSH, isu-isu keselamatan pekerjaan akan diberi perhatian untuk dibawa ke persidangan dewan dan seterusnya dipertimbangkan kerajaan.

Sementara itu, Rais mengingatkan senator untuk memahami aspirasi pelantikan mereka sebagaimana tertakluk dalam perkara 45 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berharap Ahli Dewan Negara menggunakan sepenuhnya latar belakang profesional dalam bidang masing-masing untuk memperbahaskan sesuatu yang berkualiti sesuai dengan kedudukan Dewan Negara sebagai badan penggubal undang-undang tertinggi negara.

“Kita tidak mahu perbahasan terarah kepada politik kepartian yang sempit, sebaliknya perbincangan biarlah lebih matang dan tuntas,” katanya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast