Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim menyambut baik langkah yang dirancang oleh kerajaan untuk memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Mohd Sheriff mencadangkan kadar GST yang baharu diturunkan kepada 3.0 atau 4.0 peratus berbanding 6.0 peratus apabila cukai itu dimansuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak lama selepas ia mengambil alih pentadbiran pada Mei 2018.

Tan Sri Mohd. Sheriff Mohd. Kassim

“GST pada kadar 3.0 atau 4.0 peratus dapat memberikan pendapatan yang sama jika tidak melebihi daripada kadar 6.0 peratus yang ditetapkan sebelum ini dengan mengehadkan senarai pengecualian kepada minimum.

“Semakin banyak pengecualian, semakin rumit pelaksanaannya terutamanya untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perniagaan mikro,” katanya kepada Bernama hari ini.

Arkib Seorang pengunjung mencuba barangan kemas berikutan bermulanya 1 Jun Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ditetapkan pada kadar sifar seperti yang diumumkan kerajaan semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Habib Jewels, Ampang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 01 JUN 2018

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kepada pengumuman oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada Rabu bahawa selain memperkenalkan semula GST, kerajaan turut meneliti cukai baharu yang bersesuaian yang hanya akan dilaksanakan apabila ekonomi pulih daripada impak pandemik COVID-19.

Menyifatkan dirinya sebagai penyokong GST, Mohd Sheriff, yang juga bekas Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd. berkata, GST sebelum ini adalah rumit berikutan ia sukar untuk PKS dan perniagaan mikro mentafsirkan kod Klasifikasi Piawaian Perdagangan Antarabangsa (SITC) apabila mereka memohon bayaran balik GST yang dibayar ke atas input yang digunakan dalam mengeluarkan atau memproses barangan sebelum jualan akhir dalam rantaian nilai.

“Ia mengambil masa yang sangat lama untuk mendapat bayaran balik. Terdapat begitu banyak aduan. Ahli-ahli perniagaan menyalahkan Kastam (Jabatan Kastam Diraja Malaysia) dan Kastam, seterusnya, menyalahkan syarikat kerana mengisi maklumat yang salah dalam borang tuntutan bayaran balik,” katanya.

Cukai dengan nilai tambah itu dikenakan berkuat kuasa 1 April, 2015, amat tidak popular dan gabungan PH dalam manifestonya untuk pilihan raya umum 2018 telah berjanji akan memansuhkannya dan dilakukannya hanya selepas dua minggu kerajaan PH dibentuk.

Mohd Sheriff berkata, apa yang berlaku selepas GST dilaksanakan pada tahun 2015 ialah perniagaan yang dijalankan oleh keluarga yang tidak mampu menggunakan khidmat firma perakaunan profesional atau pemilik perniagaan yang ‘old-fashioned’ dan tidak celik komputer untuk menyimpan akaun, mendapati keseluruhan sistem adalah terlalu rumit.

“Ahli politik mengeksploitasi aduan mereka yang mendakwa GST adalah kejam dan tidak wajar apabila 128 negara di seluruh dunia mempunyai GST,” katanya.

Langkah untuk memperkenalkan semula GST adalah wajar berikutan pendapatan kerajaan perlu berkembang dengan kukuh bagi membolehkannya memberikan kualiti perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat, terutamanya dalam sektor pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan sosial.

“Malaysia seperti negara kebajikan dengan perkhidmatan awam percuma dan murah. Ini hanya dapat dilaksanakan dengan asas pendapatan yang kukuh. Oleh itu, sistem cukai pendapatan juga perlu diperkukuhkan dengan meminimumkan ketirisan dan pengelakan, terutamanya daripada perniagaan sendiri dan pengusaha gerai,” kata Mohd Sheriff.

Maklumat yang diperoleh oleh Kastam daripada kertas kerja GST mengenai tuntutan bayaran balik boleh dikongsi dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk menangkap mereka yang menipu mengenai pendapatan mereka.

“Tiada yang percuma. Jika pendapatan rendah, kerajaan perlu meminjam lebih dan lebih dan caj faedah ke atas hutang jadi lebih besar dan lebih besar, sukar untuk memastikan perkhidmatan awam dapat dilaksanakan dengan lancar dan cekap.

“Golongan miskin akan lebih terjejas berbanding mereka yang lain dalam melaksanakan GST. Kadar perlu bermula rendah dan naik secara berperingkat dari semasa ke semasa,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kadar seperti sebelom ini sudah ok,tak perlu nak rendah lagi..Tapi ABAHLEMBU ni bukan kutuk dan fitnah GST ke dulu sampai tumbangnya BN.?Mungkin masa tu terlebih makan vaksin B agaknya..

Comments are closed.