Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan mengenai pelaksanaan dua dana seperti yang diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, baru-baru ini.

Menurutnya, Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) adalah pinjaman bernilai RM2 bilion untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang layak dalam sektor perkhidmatan.

PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan bagi tujuan modal kerja sehingga RM500,000 untuk tempoh sehingga 7 tahun, termasuk moratorium sekurang-kurangnya selama 6 bulan.

Kemudahan ini ditawarkan pada kadar sehingga 3.5% setahun dan boleh diperoleh melalui 21 institusi kewangan peserta, dengan perlindungan jaminan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) atau Credit Guarantee Corporation (CGC).

Kemudahan ini tersedia sehingga 31 Disember 2021 atau habis digunakan (mana yang lebih awal).

PKS yang merupakan penerima Kemudahan Bantuan Khas (Special Relief Facility, SRF), Pembiayaan Pelancongan PENJANA (PENJANA Tourism Financing, PTF) dan Pembiayaan PKS PENJANA (PENJANA SME Financing, PSF) tidak layak memohon TRRF.

Bagi PKS dalam subsektor perkhidmatan pelancongan dan perkhidmatan berkaitan pelancongan, bantuan terus tersedia di bawah PTF.

Manakala peruntukan bagi Kemudahan Perusahaan Mikro (MEF) telah ditambahkan nilainya daripada RM300 juta kepada RM410 juta, dengan baki peruntukan yang tersedia sebanyak RM200 juta.

Kemudahan MEF ini telah ditambah baik untuk meningkatkan akses perusahaan mikro kepada kredit, yang merangkumi individu yang bekerja sendiri, pekerja sambilan (gig workers) yang menggunakan platform digital dan peserta program iTEKAD.

iTEKAD dilancarkan pada bulan Mei 2020 adalah program kewangan sosial yang menyediakan latihan dan bimbingan berstruktur tentang keusahawanan dan pengurusan kewangan; pendanaan bagi pemerolehan aset (daripada zakat, wakaf tunai dan sumbangan); dan/atau akses kepada pembiayaan mikro.

Program ini bertujuan untuk memperkasa usahawan mikro daripada segmen B40 supaya dapat menjana pendapatan yang lebih mampan dan seterusnya menyumbang semula kepada masyarakat.

Perusahaan mikro yang layak boleh mendapatkan pembiayaan untuk tujuan modal kerja dan perbelanjaan modal sehingga RM50,000.

Kadar pembiayaan akan ditetapkan oleh institusi kewangan peserta. Untuk kemudahan ini, institusi kewangan peserta juga boleh mendapatkan perlindungan jaminan daripada CGC atau SJPP.

Untuk memohon TRRF, PKS yang berminat boleh memohon terus kepada institusi kewangan peserta, yang terdiri daripada bank-bank perdagangan, bank-bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh BNM, menerusi laman sesawang mereka atau dengan melawati cawangan-cawangan institusi kewangan peserta.

Bagi MEF, perusahaan mikro yang berminat boleh memohon terus kepada institusi kewangan peserta di bawah Skim Pembiayaan Mikro.

Bank Pusat itu berkata, butiran mengenai Kemudahan Teknologi Tinggi (HTF) akan dimumkan pada 15 Disember 2020.

Orang ramai boleh menghubungi BNMTELELINK bagi mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan penyelesaian untuk sebarang isu yang mungkin dihadapi dengan bank mereka pada waktu yang mencabar ini melalui [email protected] or 1-300-88-5465.

Maklumat lanjut mengenai ciri-ciri kemudahan pembiayaan yang dinyatakan di atas terkandung di lampiran 1, 2 & 3 dan boleh didapati di www.bnm.gov.my/covid19/. – MalaysiaGazette