Diogo Luis Santo.

KUALA LUMPUR – Bekas penyerang import Johor Darul Ta’zim (JDT), Diogo Luis Santo sah menyertai kelab Thai League 1, BG Pathum United bagi menghadapi saingan musim 2021.

Perkara ini diumumkan oleh BG Pathum menerusi laman media sosial rasmi pasukan apabila Diogo bakal menyarung jersi bernombor 7 bersama kelab tersebut.

Setelah dua musim beraksi di Liga Malaysia, Diogo kembali ke saingan Thai League yang menyaksikan pemain berusia 33 tahun itu menghabiskan empat musim bersama Buriram United sebelum menyertai JDT.

Bersama JDT, Diogo telah memenangi beberapa kejuaraan antaranya saingan Liga Super pada musim 2019 dan 2020 serta trofi Piala Malaysia pada edisi 2019 dengan menewaskan pasukan Kedah di perlawanan akhir.

Diogo merupakan pemain pertama yang ditandatangani oleh BG Pathum bagi menghadapi saingan liga domestik serta AFC Champions League (ACL) pada musim hadapan.

Kelab yang turut diwakili oleh pemain Malaysia, Norshahrul Idlan Talaha itu dikhabarkan berminat untuk mendapatkan seorang lagi penyerang iaitu Teerasil Dangda yang ketika ini beraksi di J. League bersama Shimizu S-Pulse. – MalaysiaGazette