Kumpulan BTS. foto Agensi

SEOUL – Parlimen Korea Selatan meluluskan rang undang-undang yang membenarkan bintang K-pop yang mempunyai nama-nama besar seperti BTS, menangguhkan perkhidmatan wajib tentera mereka sehingga usia 30 tahun.

Semua lelaki Korea Selatan yang berumur antara 18 dan 28 tahun dikehendaki berkhidmat dalam tentera negara itu selama 20 bulan.

Tetapi di bawah undang-undang yang disemak semula, bintang-bintang pop tertentu dibenar menangguhkan perkhidmatan mereka jika disarankan oleh Menteri Kebudayaan.

Pindaan itu dibuat sebagai hadiah ulang tahun kepada ahli tertua BTS, Jin, yang hanya beberapa hari lagi sebelum menginjak usia 28 tahun.

Sebelum semakan dibuat pada hari Selasa, pengecualian atau penangguhan perkhidmatan ketenteraan telah diberikan kepada atlet berprofil tinggi dan pemuzik klasik.

Di bawah Undang-Undang Perkhidmatan Ketenteraan yang disemak semula, “seorang seniman budaya pop yang disarankan oleh Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan untuk meningkatkan imej Korea dalam negara dan seluruh dunia” dibenarkan untuk menangguhkan perkhidmatan sehingga usia 30.

BTS-mania telah melanda dunia dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan populariti melonjak ke luar negara.

Minggu lalu mereka menjadi kumpulan K-pop pertama yang menerima pencalonan Anugerah Grammy.

Lagu hit terbaru mereka Dynamite dicalonkan untuk kategori Pop Duo/Persembahan Kumpulan Terbaik, bersama bintang seperti Lady Gaga dan Taylor Swift.

Baru-baru ini, mereka melakar sejarah sebagai aksi pop Korea pertama yang menduduki tangga teratas Billboard 100 single dan kumpulan pertama yang mempunyai lagu bukan berbahasa Inggeris memasuki carta nombor satu. – MalaysiaGazette