KUALA LUMPUR – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) melalui Ar Rahnu YaPEIM akan melancarkan ‘Tabung Bantuan Pemuliharaan Haiwan’ Zoo Negara bermula hari ini sehingga 28 Februari 2021 bagi membantu meringankan beban kewangan Zoo Negara.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan ke dalam tabung yang disediakan di semua 203 cawangan Ar Rahnu YaPEIM di seluruh negara dalam tempoh tiga bulan ini sebelum hasil kutipan diserahkan kepada pihak pengurusan Zoo Negara.

YaPEIM berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai situasi penularan pandemik Covid-19 yang memberikan impak secara menyeluruh bukan sahaja kepada ekonomi, sosial dan pendidikan di Malaysia malah memberikan kesan kepada sektor pelancongan seperti Zoo Negara yang sebelum ini menjadi daya tarikan pelancong tempatan dan luar negara.

Situasi semasa ini menyebabkan Zoo Negara tidak dapat beroperasi seperti biasa dan akibatnya memberi impak kepada haiwan-haiwan yang memerlukan penjagaan harian.

Media sebelum ini turut melaporkan kos operasi Zoo Negara yang secara purata mencecah RM1 juta sebulan meliputi pembayaran gaji kakitangan berjumlah RM400,000, keperluan makanan (RM350,000), bil elektrik (RM140,000) dan bil air sebanyak RM40,000.

YaPEIM berharap usaha ini akan mendapat sambutan daripada masyarakat serta pencinta haiwan sekali gus membantu meringankan beban pihak pengurusan Zoo Negara. – MalaysiaGazette