KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semalam dalam kenyataannya telah memperincikan proses serta kelayakan bagi ahli-ahlinya yang masih aktif ataupun tidak, membuat pengeluaran daripada Akaun 1.

Kenyataan itu jelas mengulangi pendirian institusi kewangan tersebut dan juga ucapan penggulungan Menteri Kewangan pada 26 November lalu bahawa program i-Sinar dibuka dan diperluaskan kepada semua ahli yang terjejas pendapatan mereka akibat pandemik COVID-19.

Perluasan ini amat ketara kerana daripada 2 juta ahli yang layak sebelum ini, i-Sinar kini kita buka kepada lebih 8 juta ahli, sekaligus memberi peluang yang lebih besar kepada ahli-ahli yang sangat memerlukan.

Ternyata ia memberikan kelegaan kepada mereka yang benar-benar terjejas pendapatannya. Walaupun KWSP menyenaraikan beberapa “kriteria kelayakan”bagi pengeluaran Akaun 1, tetapi ia dilihat sebagai satu formaliti dan mekanisma untuk melindungi keselamatan akaun ahli yang terlibat.

Ini kerana jika dilihat secara teliti dan difahami kenyataan itu, i-Sinar dibuka kepada mereka yang hilang pekerjaan, yang dipotong gaji serta elaun dan OT, mereka yang bekerja sendiri, yang bekerja dalam sektor ekonomi gig, surirumah yang mempunyai akaun KWSP tetapi sudah berhenti mencarum dan mereka yang sudah lama tidak mencarum.

Bagi mereka yang terjejas pendapatan, ini adalah pengumuman yang sangat baik. Mereka perlu melalui proses permohonan secara dalam talian dan bagi kategori 1, kelulusan adalah secara automatik manakala bagi kategori 2, mereka perlu menunjukkan dokumen sokongan sebagai bukti pendapatan mereka terjejas. Itu sahaja.

Ini juga telah dinyatakan dengan jelas oleh Menteri Kewangan di dalam Dewan Rakyat iaitu “tunjukkan sahaja bukti mengenai kehilangan pekerjaan, notis cuti tanpa gaji, potongan gaji, elaun atau OT mahupun pengurangan pendapatan jika bekerja sendiri”.

Apa yang digariskan oleh KWSP bukanlah satu kriteria yang sengaja diadakan untuk menyukarkan ahlinya membuat pengeluaran. Jika benar terjejas pendapatan, mengapa perlu mengeluh dengan kriteria ini? Mungkin ada yang tidak berpuas hati kerana terdapat had pengeluaran yang ditetapkan.

Sedangkan bank menetapkan had pengeluaran harian, inikan pula KWSP. Had serta jadual pengeluaran ini ditetapkan bagi membantu ahli yang terjejas pendapatan membuat perancangan perbelanjaan terutamanya dalam situasi kewangan mereka yang tidak stabil.

Mungkin mereka tidak menyedari kepentingan tetapan yang dibuat oleh KWSP tetapi sebagai institusi kewangan yang melindungi simpanan ahlinya, ia adalah langkah yang perlu dilakukan bagi menjamin keselamatan setiap akaun serta wang simpanan ahlinya. Kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan.

Bagi mereka yang tidak atau belum lagi terjejas pendapatan akibat pandemik COVID-19 ini, i-Sinar adalah satu berita yang melegakan kerana sekiranya ia berlaku, mereka tahu sekurang-kurangnya ketidakstabilan situasi kewangan mereka boleh dikurangkan dengan adanya kemudahan pengeluaran oleh KWSP.

Tetapi sekiranya pendapatan mereka tidak terjejas dan masih menikmati pendapatan penuh beserta elaun dan OT, maka tidak perlulah merasa kecewa kerana tidak layak membuat pengeluaran akaun 1.

Ini kerana jika sebelum berlakunya pandemik, mereka mampu menjalani kehidupan seharian dengan situasi kewangan yang sama ketika berlakunya pandemik tanpa ada keperluan untuk mengeluarkan wang simpanan dari akaun 1, mengapa perlu dikeluarkan sekarang?

Kemudahan i-Sinar adalah untuk membantu menstabilkan situasi kewangan ahlinya yang pendapatan mereka terjejas akibat daripada pandemik COVID-19. Bukan untuk membiarkan mereka yang tidak terjejas membelanjakan wang simpanan persaraan mereka sesuka hati.

Tetapi seperti yang dinyatakan, kemudahan ini juga adalah persediaan buat mereka yang masih belum terjejas pendapatan.

Jadi, anda kehilangan pekerjaan akibat pandemik ini?

Pendapatan anda dipotong atau diberikan notis tanpa gaji?

Anda seorang surirumah yang telah berhenti mencarum?

Anda bekerja sendiri atau bekerja dalam sektor ekonomi gig?

Anda semua layak dan boleh membuat pengeluaran dari akaun 1 mengikut jumlah wang simpanan yang ada di dalam akaun KWSP anda.

— Pencarum KWSP

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast