Man Bai kini muncul dengan single Kau Ilhamku 2020.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Man Bai atau nama sebenarnya, Abdul Rahman Osman bukanlah suatu nama yang asing dalam industri seni tempatan.

Mula bertapak dalam arena muzik arus perdana tempatan pada tahun 1987 sebagai vokalis kumpulan rock Gersang yang pernah popular dengan lagu Masih Aku Terasa, Suratan Takdir dan Sunyi.

Setelah pembubaran Gersang dan berehat daripada dunia seni akibat masalah tonsil, Man Bai yang berusia 53 tahun kembali membina kerjaya atas namanya sendiri apabila memulakan kerjaya solonya pada tahun 1995 menerusi album solo debutnya berjudul Man Bai’

Menerusi lagu hit Kau Ilhamku yang dimuatkan dalam album solo debutnya itu, nama Man Bai kembali meniti dibibir peminat.

Apatah lagi apabila lagu itu turut diangkat sebagai lagu runut bunyi filem Layar Lara yang pernah menjulang trofi Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-13 pada tahun 1997.

Sehingga kini, lagu ini masih segar dalam ingatan peminat dan menjadi siulan ramai dari generasi ke generasi sekaligus menjadikan Kau Ilhamku antara lagu Melayu yang  paling ikonik pernah dihasilkan.

Sempena sambutan ulangtahun ke-25 lagu malar segar tersebut, Man Bai yang merupakan anak kelahiran Johor Bahru kembali menterjemah semula lagu Kau Ilhamku dalam versi terbaharu yang diberi judul Kau Ilhamku 2020.

Lagu ciptaan Asmin Mudin ini diberi nafas baharu dengan terjemahan berbeza daripada rakaman asal dan diberikan susunan muzik segar oleh Man Bai bersama penerbit, komposer dan penyusun muzik terkenal Mac Chew.

Ini bukanlah kali pertama Man Bai merakam semula lagu ikonik ini kerana pada tahun 2011, Man Bai pernah menghasilkan versi lain lagu itu menerusi Kau Ilhamku 2011.

Namun begitu, Kau Ilhamku 2020 menjanjikan sajian muzik yang lebih indah.

Jika sebelum ini, susunan muzik dalam versi rakaman asal pada tahun 1995 dan rakaman semula pada tahun 2011 lebih berpaksi kepada petikan gitar sebagai bunyi utama, dalam Kau Ilhamku 2020, lagu ini diberikan susunan muzik yang lebih gemilang dengan iringan petikan piano, tiupan seruling dan gesekan biola sekaligus menyerlahkan lagi keindahan melodi lagu ini.

Menyifatkan lagu ini sangat istimewa kepadanya secara peribadi, Man Bai berkata, menerusi Kau Ilhamku 2020, dia cuba memberikan penghargaan sewajarnya kepada lagu yang pernah menaikkan semula nama saya pada suatu masa dahulu.

“Dengan memberikan nafas baharu kepada lagu ini dengan susunan muzik yang lebih gah, lagu ini menyajikan sajian muzik  yang lebih indah.

“Sesuai dengan maksud lagu ini yang mengangkat taraf seseorang yang menjadi sumber ilhamnya, saya cuba mengangkat taraf lagu ini ke peringkat lebih tinggi.

“Saya berharap menerusi terjemahan terbaharu saya menerusi Kau Ilhamku 202, lagu ini akan kekal relevan sepanjang zaman,” katanya.

Turut dilancarkan adalah video muzik rasmi lagu ituyang menyaksikan Man Bai  memberikan penghormatannya kepada seniman dan seniwati tempatan dan antarabangsa yang bukan sahaja pernah mewarnai dunia seni malah memberi impak kepada dirnya.

Mengulas tentang video muzik rasmi ini , Man Bai berkata, dia mendedikasi lagu itu buat semua anak seni  yang pernah membina dan mewarnai dunia seni dengan karya agung mereka.

“Walaupun sudah tiada, mereka masih dan akan terus menjadi sumber ilham kepada penggiat dan peminat seni muzik,” katanya.

Sementara itu, single terbitan Universal Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula esok.

Video muzik rasmi Kau Ilhamku 2020 juga oleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia bermula tarikh sama. – MalaysiaGazette

Man Bai meniti zaman kegemilangan bersama kumpulan Gersang.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast