Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berpendirian tiada keperluan yang mendesak untuk kerajaan meningkatkan had umur persaraan dari 60 tahun kepada 65 tahun bagi penjawat awam.

Presidennya, Adnan Mat berkata, ketetapan untuk mengekalkan had usia persaraan perkhidmatan awam ini perlu juga mengambil kira pelbagai pertimbangan lain termasuk memberi peluang pekerjaan kepada lebih banyak golongan muda yang berkemahiran dan berbakat.

Kemasukan kakitangan muda sudah pasti sedikit sebanyak menyumbang kepada peremajaan sistem perkhidmatan awam sesuai dengan keadaan semasa.

Lagipun, CUEPACS berpandangan sebahagian besar individu dalam lingkungan usia 60 tahun ke atas kebiasaanya berdepan dengan beberapa kekangan berkaitan pekerjaan termasuk faktor kesihatan selain perlu mengadaptasi teknologi baharu yang semakin canggih.

”Justeru itu, peraturan semasa yang terpakai ketika ini untuk had usia persaraan penjawat awam masih munasabah dan relevan.

”Pada masa yang sama penjawat awam boleh membuat keputusan untuk bersara mengikut pilihan sendiri pada bila-bila masa yang difikirkan perlu walaupun masih belum mencapai usia 60 tahun, katanya.

Beliau mengulas cadangan Pengurus Negara Kumpulan Bank Dunia di Malaysia supaya Malaysia meneliti semula dasar mengenai had usia persaraan berikutan status negara sebagai negara yang mungkin akan mempunyai masyarakat berusia pada masa akan datang.

Atas faktor tersebut, wakil Bank Dunia itu mencadangkan agar Malaysia meningkatkan had minimum usia persaraan daripada 60 tahun kepada 65 tahun dan ianya dikaji dari masa ke masa sesuai dengan unjuran jangka hayat penduduk Malaysia.

Bagaimanapun, beliau akui, CUEPACS menerima begitu banyak cadangan daripada pelbagai pihak termasuk daripada wakil-wakil pekerja di sektor swasta agar had usia persaraan dinaikkan.

Cadangan tersebut timbul kerana ramai rakyat Malaysia masih lagi memiliki baki pinjaman perumahan yang banyak walaupun telah menghampiri usia persaraan.

Malah ada yang terpaksa membuat pinjaman perumahan sehingga umur 65 tahun dan rata-rata mereka ini bimbang tidak mempunyai pendapatan boleh guna yang cukup selepas bersara kerana masih lagi perlu membayar hutang rumah.

Perkara ini berlaku disebabkan harga rumah yang sangat mahal ketika ini selain skim gaji yang rendah.

Gaji yang rendah tersebut memberi kesan kepada simpanan hari tua mereka sama ada memiliki simpanan KWSP atau wang pencen yang diterima jika mereka penjawat awam.

Untuk atasi masalah ini CUEPACS berharap kerajaan dapat meningkatkan had gaji minimum ke tahap yang lebih baik.

Dengan ini, rakyat mempunyai simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang lebih banyak untuk sektor swasta manakala penjawat awam boleh menerima wang pencen lebih tinggi.

Pendapatan boleh guna mereka selepas bersara juga akan lebih baik, sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Dalam masa yang sama perbanyakkan lagi membina rumah-rumah yang dikategorikan sebagai mampu milik dan selesa untuk golongan rakyat berpendapatan rendah.- MalaysiaGazette