KUALA LUMPUR – Laman web rasmi Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini tampil dengan reka bentuk baharu, berimej profesional dan korporat serta pengisian yang lebih mantap dan mesra pengguna.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, usaha memperbaharui laman web UMS adalah sebahagian daripada perancangan strategik universiti untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan kepada pemegang taruh dan masyarakat umum.

“Keperluan untuk menaiktaraf laman web rasmi UMS ini menjadi semakin kritikal ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19. Pergerakan secara fizikal dikawal untuk mencegah penularan jangkitan wabak ini.

“Kesannya, aktiviti seharian pelajar dan warga akademik tidak seperti kebiasaan dan pergantungan terhadap sistem penyampaian Universiti yang cepat, tepat dan mudah secara atas talian amat diperlukan. Ini adalah sebahagian daripada norma baharu kehidupan yang saya percaya akan mula sebati dalam diri kita semua pada masa hadapan,” katanya.

Sehubungan itu Dr. Taufiq berkata, laman web dan saluran YouTube serta semua platform media sosial merupakan wadah untuk UMS menyalurkan maklumat universiti terutama kepada semua yang mempunyai akses Internet sama ada di dalam maupun di luar negara.

“Ciri terkini di dalam laman web rasmi UMS baharu ialah susun atur maklumat di laman utama yang lebih baik dan menarik seperti tayangan klip video mengenai UMS, capaian ke atas maklumat mengenai aktiviti dan kejayaan penyelidikan dan inovasi di UMS.

“Selain itu ia juga memudahkan capaian ke atas maklumat penerbitan jurnal dan buku di UMS, sorotan peristiwa atau berita yang berlaku di UMS serta paparan mengenai kehidupan kampus yang bertujuan berkongsi dan mempromosi keindahan kampus UMS,” jelas Dr Taufiq.

Pengguna boleh melayari laman web baharu UMS di www.ums.edu.my untuk melihat sendiri ciri-ciri terkini paparan antara muka dan maklumat berhubung semua aktiviti universiti.

Sementara itu katanya, saluran rasmi Youtube “UMS official” yang dijenamakan kepada “UMS Net” akan menghimpunkan video hasil kreativiti warga UMS dalam melapor dan mendokumentasi semua aktiviti rasmi UMS di dan luar kampus. – MalaysiaGazette