Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak menunjukkan kesepakatan apabila menolak Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu demi menjamin masa depan rakyat.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, usul daripada ADUN Pengkalan Baharu, Datuk Abd Manaf Hashim yang telah disegerakan membuktikan kerajaan pimpinan Ahmad Faizal atau lebih dikenali sebagai Peja tidak ada keabsahan.

“Ketika ini kita dilanda wabak Covid-19 maka jika Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan ianya hanya akan memudaratkan rakyat.

“Namun, apa yang jelas adalah Peja telah ditolak di dalam Dewan Undangan Negeri. Keadilan Perak menerima keputusan ini dengan baik dan kita akan memberikan kerjasama dengan kerajaan negeri agar fokus kepada kebajikan rakyat tidak terabai,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Farhash turut menasihatkan Peja agar bermuhasabah diri setelah ditolak oleh parti komponen sendiri walaupun hanya sembilan bulan bersama mereka.

Dalam undian belah bahagi ketika permulaan sesi persidangan DUN itu pagi ini, daripada 59 ADUN yang mengundi hanya 10 bersetuju manakala 48 tidak bersetuju dan satu berkecuali.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid ketika mengumumkan keputusan itu berkata, usul undi percaya terhadap Ahmad Faizal menepati syarat dan tidak melanggar peraturan DUN dengan 45 ADUN bersetuju, manakala sembilan tidak bersetuju.

Sebelum itu, hanya dua ADUN UMNO yang mengambil bahagian berbahas iaitu ADUN Pengkalan Baharu, Datuk Abd. Manaf Hashim dan ADUN Gunung Semanggol, Datuk Razman Zakaria.

Menerusi surat bertarikh 18 November 2020, Abd. Manaf menyatakan Ahmad Faizal yang merupakan ADUN Chenderiang dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mempunyai keyakinan majoriti ADUN di negeri itu. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. eh?nk jd MB ke farhash?sedar sikit ko tu dr PKR parti kencing rakyat..ko sendiri xmenang pape nk brckp. ckp pmpinan org xprcaya ini kn lg ikn bilis mcm ko. xsokong mb bkn brmakna xsokong kerajaan. otak tu kasi pusing. pusing2 kalau bukan peja pun tetap dlm PN jd MB.jd ko terus meroyanlah farhash.

  2. pedas sindiran pd peja..harap peja x terjun bngunan lah…rasalah peja dulu hang khianat member skrng rasakan apabila diri sendiri pulak yg kena…malu bai maluuu

Comments are closed.