Setiausaha Agung MBC, Mohd Zulkifli Abdul Fattah.

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Minoriti (MBC) mengingatkan Datuk Seri M. Saravanan tidak menggunakan nama kementerian dan pangkat beliau selaku Menteri Sumber Manusia sebagai perisai untuk mempertahankan imej MIC.

Setiausaha Agung MBC, Mohd Zulkifli Abdul Fattah berkata, umum sedia maklum komen terbuka Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang mencadangkan agar MIC
diharamkan jika didapati menghasut masyarakat untuk melanggar undang-undang.

Namun, katanya, perlu diingati komen berkenaan adalah terhadap MIC sahaja jadi tidak wajar Saravanan ‘mengheret’ sama kerajaan Pusat dalam hal berkenan.

“MBC bukan mempertahankan tindakan Menteri Besar Kedah namun tetap menghormati pendapat beliau, sama seperti kami juga menghormati hak MIC untuk mengeluarkan kenyataan balas.

“Namun, sebagai ahli-ahli di dalam blok kerajaan yang memerintah, Menteri Besar Kedah dan MIC seharusnya mampu menyelesaikan isu perobohan kuil di Kedah dengan cara yang damai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, kata Mohd Zulkifli, sebagai salah satu parti berpengalaman dalam pemerintahan Malaysia, MIC perlu tahu membezakan komen terhadap parti dan kerajaan.

“Jadi mengeluarkan respon melalui kepala surat Kementerian Sumber Manusia dilihat sebagai mengalihkan isu MIC menjadi isu kerajaan.

“Tindakan oleh Datuk Seri M Saravanan ini bukan sahaja mencemarkan nama Kementerian Sumber Manusia malah ia juga menjejaskan reputasi kerajaan Perikatan Nasional, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga nama
beliau sekali selaku Menteri Sumber Manusia,” ujarnya.

Justeru, MBC berharap agar MIC dan juga parti-parti politik lain dalam blok kerajaan PN agar lebih berhati-hati didalam tindakan mereka selepas ini.- MalaysiaGazette