Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 peringkat dasar di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 26 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa agar mengambil langkah sama untuk menunjukkan sokongan terhadap beliau sebagaimana yang berlaku kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, hari ini.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, telah tiba masanya Muhyiddin membuktikan samada beliau mempunyai sokongan kukuh di Dewan Rakyat untuk terus menerajui Putrajaya.

“Jika Timbalan Presiden Bersatu gagal mempertahankan negeri sendiri, Muhyiddin harus membuktikan sebaliknya di peringkat kerajaan pusat. Namun sudah 10 bulan berkhidmat sebagai PM, tidak ada sekali pun usul undi percaya terhadap beliau.

“Kelulusan beberapa undi berbelah bagi belanjawan kementerian juga menunjukkan bahawa Muhyiddin tidak mempunyai 112 undi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Awal hari ini, Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang dan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan akan berundur daripada jawatannya.

Ini setelah dia gagal mendapat sokongan majoriti daripada wakil-wakil rakyat negeri itu dalam undi keyakinan yang diusulkan oleh ADUN Pengkalan Baru, Datuk Abdul Manaf Hashim dari UMNO.

Dalam pada itu, Ramanan berkata, 48 ahli DUN termasuk UMNO telah mengundi menentang usul yang pada mulanya adalah undi percaya.

“Ini menunjukkan UMNO tidak konsisten dengan sokongan kepada Bersatu di peringkat negeri. Oleh itu saya menyarankan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk membuktikan keabsahan kerajaan beliau,” desak beliau.

Status Faizal sebagai Menteri Besar menjadi pertikaian apabila sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya. Satu undi rosak atau berkecuali.

Untuk rekod, UMNO memiliki 25 ADUN dan Pas pula hanya tiga. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. UMNO, Pas, Bersatu, musuh politik mereka sama yakni DAP? Ianya gabungan yang menjadi harapan ramai. Dlm menghadapai PRU15 nanti, sepatutnya sudah ada MoU amalan demokrasi yang punyai kerusi majoriti yang yang layaknya diangkat menjadi ketua?

Comments are closed.