KUALA LUMPUR – Jika dilihat dari luar, barangkali apa yang kelihatan pada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dia cukup tenang berhadapan dengan ujian kepimpinannya sebagai Menteri Besar Perak.
Namun, jauh di sudut hatinya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang itu sebetulnya sedang ‘berperang’ dengan emosinya selepas melalui episod duka berikutan keputusan undian usul percaya yang tidak menyebelahinya di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Bagaimanapun, Ahmad Faizal berkata, beliau perlu kekal tenang dan menerima keputusan itu agar kestabilan negeri terjamin di samping mengelakkan rakyat bertelagah sesama sendiri.
“Sebenarnya saya nampak tenang tapi dalam jiwa dan diri saya sebenarnya berkelodak juga… berkocak juga sebab saya begitu risau Bajet (Perak 2021) tak sempat saya nak bentangkan petang ini.
“Saya sebenarnya mengharapkan agar jika ada pun usul percaya ini dilakukan selepas kita meluluskan bajet kerana saya fikir, kita… saya bersama barisan Exco dan juga para penjawat awam di negeri ini telah mengusahakan bajet yang saya fikir amat amat baik untuk kita mengemudi kerajaan dan negeri ini dalam keadaan yang lebih baik.
“Namun, saya fikir saya perlu mengekalkan ketenangan supaya rakyat di luar tidak bergaduh sesama sendiri,” katanya yang dikenali sebagai Peja seperti laporan Astro Awani.
Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Surat Kelulusan Projek Masjid dan Surau di negeri Perak di Ipoh hari ini.
Terdahulu, Ahmad Faizal gagal memperoleh majoriti sokongan usul undi percaya terhadapnya yang diusulkan ADUN Pengkalan Bharu, Datuk Abdul Manaf Hashim pada persidangan DUN di sebelah pagi.
Daripada 59 ADUN, hanya 10 yang menyokong, manakala 48 lagi membantah sementara satu undi rosak dalam undi belah bahagi yang ditetapkan Speaker DUN Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.
Mohammad Zahir memutuskan proses pengundian belah bahagi dibuat selepas menerima cadangan oleh Dr Abdul Aiz Bari (DAP – Tebing Tinggi) yang disokong oleh Maslin Sham Razman (BN – Bukit Chandan).
Ketika membahaskan usul undi percaya tersebut, Abdul Manaf berkata, tujuan usul undi percaya itu adalah bagi menentukan keabsahan atau kewibawaan kepimpinan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar.
Sementara itu, dalam temu bual eksklusif dengan Astro AWANI, Ahmad Faizal berkata, beliau berlapang dada dan menerima baik keputusan yang tidak memihak kepadanya dalam undi percaya di sidang DUN pagi tadi.
Menurutnya, sekarang bukanlah masa untuk memanjangkan isu politik di Perak kerana rakyat di negeri itu perlu dibantu, terutamanya kalangan yang terkesan oleh pandemik Covid-19.
“Tanggungjawab saya sebagai pemimpin kecil untuk stabilkan keadaan kerana kita berdepan dengan pelbagai masalah rakyat.
“Ini lebih penting dari kedudukan saya sebagai Menteri Besar,” katanya.
Ahmad Faizal turut mengaku beliau terkilan kerana tidak sempat membentangkan Belanjawan Negeri Perak Tahun 2021. – MalaysiaGazette
Dah tau pemimpin kecil jgn cuba jd diktator…jgn jd besar kepala & biadap terhadap sekutu sendiri dlm kerajaan
TUN M dh pesan x nk ikut…skarang rasakan balik perit pengkhianatan..what u give u get back