Pasukan bantuan kesihatan menunggu mangsa-mangsa dibawa keluar dari lombong arang batu dekat Diaoshuidong. foto Agensi

CHONGQING – Kira-kira18 pelombong maut dan lima lagi masih hilang setelah kebocoran gas karbon monoksida berlaku di sebuah lombong arang batu di barat daya negara ini.

Hanya seorang mangsa berjaya diselamatkan dari lombong Diaoshuidong, dekat bandar Chongqing, lapor CCTV.

Siasatan telah dilancarkan mengenai kejadian yang berlaku pada hari Jumaat.

Kemalangan di kawasan lombong di China biasa berlaku disebabkan oleh peraturan keselamatan yang lemah.

Menurut CCTV, kebocoran gas di lombong Diaoshuidong berlaku semasa pekerja membuka peralatan bawah tanah.

Sebelum ini, lombong berkenaan telah ditutup selama dua bulan.

Pada bulan September, 16 pekerja terbunuh di lombong lain di pinggir Chongqing ketika tali sawat terbakar, menghasilkan karbon monoksida tahap tinggi.

Pada bulan Disember 2019, letupan di lombong arang batu di wilayah Guizhou, barat daya China, mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang. – MalaysiaGazette