Ahmad Faizal Azumu

KUALA LUMPUR – Bukan sahaja tidak mengusulkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, bahkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak mahu menyimpan dendam terhadap mana-mana pihak selepas gagal mendapat majoriti undi percaya semalam.

Sebaliknya, Ahmad Faizal percaya perkara itu boleh diselesaikan dengan cara baik, meskipun beliau telah disingkirkan rakan komponen Perikatan Nasional (PN).

“Jangan balas dendam, dalam politik kita jangan berdendam-dendam, saya kira tentu ada perkara yang boleh kita selesaikan.

“Namun inilah reaksi yang tidak kita ingini apabila berlaku keadaan di sidang DUN Perak baru-baru ini.

“Tapi sekarang ini, apabila disingkirkan dalam kalangan parti komponen, reaksi ini terdapat pula di tempat lain,” katanya selepas menyampaikan perutusan khasnya secara siaran langsung di Facebook rasminya, hari ini.

Terdahulu Ahmad Faizal yang lebih mesra dipanggil sebagai Peja mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar Perak, berkuat kuasa, hari ini.

Surat peletakan jawatan Menteri Besar Perak itu dibuat selepas beliau diperkenan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, Ipoh, Perak, kira-kira 3 petang tadi.

Semalam, Ahmad Faizal gagal mendapat sokongan majoriti ADUN Perak dalam usul undi percaya terhadapnya yang dikemukakan seorang ADUN dari Barisan Nasional (BN).

Dalam undian belah bahagi ketika permulaan sesi persidangan DUN itu pagi semalam, daripada 59 ADUN yang mengundi hanya 10 bersetuju manakala 48 tidak bersetuju dan satu berkecuali.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid ketika mengumumkan keputusan itu berkata, usul undi percaya terhadap Ahmad Faizal menepati syarat dan tidak melanggar peraturan DUN dengan 45 ADUN bersetuju, manakala sembilan tidak bersetuju.

Susulan peletakan jawatan itu, Ahmad Faizal memaklumkan barisan Exconya yang dipimpinnya sebelum ini juga tergugur secara automatik.

“Kalau ikut Perlembagaan, apabila seorang Menteri Besar letak jawatan, semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Perak juga gugur daripada jawatan,” katanya.

Ditanya tentang kejatuhannya disebabkan keengganannya berunding dengan rakan komponen PN ketika melantik pegawai di pejabat Menteri Besar Perak sebelum ini, Ahmad Faizal bagaimanapun menafikan perkara itu.

“Saya juga dituduh tidak merundingi apabila saya melantik Setiausaha Politik, tapi itu perkara yang jauh berbeza,” ujarnya.

Beliau juga menasihatkan semua pihak khususnya wakil rakyat negeri dan pusat agar tidak mengganggu perjalanan pentadbiran kerajaan negeri lain dan Kerajaan Persekutuan sedia ada.

“Semua orang dalam keadaan terkejut, jadi masing-masing berhak menyampaikan perasaan ataupun menunjukkan perasaan masing-masing.

“Tetapi saya cuma ingin memberi nasihat kepada semua pihak agar kekal tenang, bersabar dan kita di negeri Perak ini, kita cuba selesaikan permasalahan kita

“Negeri-negeri lain sedang berjalan elok, janganlah kita ganggu-gugat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette