PUTRAJAYA – Seorang kanak-kanak perempuan 10 tahun parah selepas terjatuh dari tingkat empat ketika mahu mengambil botol yang jatuh luar koridor di sebuah kuarters perumahan penjawat awam di Presint 11 di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku semasa mangsa, Nur Alya Maisarah Kamarul Faisal sedang bermain di koridor rumah apartmen tersebut.
“Mangsa difahamkan membaling botol di koridor sebelum ia terkeluar daripada koridor rumahnya.
“Mangsa kemudiannya mengambil kerusi untuk memanjat bagi mengambil botol berkenaan sebelum tersalah langkah dan terjatuh ke kawasan tempat letak motosikal,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.
Tambah beliau, semasa kejadian berlaku, bapa mangsa berada di dalam rumah dan ibu mangsa sedang bekerja.
Menurutnya, bapa mangsa merupakan adalah seorang anggota sukarelawan polis IPD Putrajaya sejak tahun 2012 sehingga kini dan menetap di perumahan awam itu sejak tahun 2010 lagi.
“Selepas jatuh, mangsa tidak sedarkan diri dan kini sedang dirawat di Zon Semi Kritikal, Hospital Putrajaya, Presint 7 dan keadaaannya kini dilaporkan stabil.
Menurut laporan terkini daripada Dr. Mohd Faris Asyraf Mohd Dusuki, mangsa kemungkinan mengalami patah tulang belakang dan tulang rusuk.
Keputusan pemeriksaan akan diketahu esok.
Tetapi tulang selangka mangsa disahkan patah, ujarnya. – MalaysiaGazette