KUALA LUMPUR – Kerajaan menarik balik larangan rentas daerah dan negeri bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 7 Disember ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan arahan itu, polis tidak lagi mengadakan sekatan jalan raya di sempadan daerah dan negeri, kecuali jika dikekalkan adalah bagi tujuan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP.
Kata beliau, dengan larangan itu juga, bermula tengah malam esok, orang ramai tidak perlu mengisi borang mendapat kebenaran polis untuk rentas negeri.
Katanya, had jumlah penumpang dalam sesebuah kenderaan juga kembali kepada syarat berdasarkan kapasiti tempat duduk, bukan lagi dihadkan tiga orang.
“Namun begitu, rentas daerah dan negeri masih terpakai di kawasan atau lokaliti yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya pada sidang media harian mengenai Covid-19 di Wisma Pertahanan, hari ini.
Menurut beliau, kerajaan amat memahami kegusaran dan kebimbangan rakyat dalam situasi mencabar ketika ini.
Katanya, kerajaan mendengar pembentangan dari Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai impak semasa serta kesan ekonomi negara jika PKPB diteruskan.
“Kita dapati negara dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kehilangan kira-kira RM300 juta sehari jika PKPB ini diteruskan. Ini akan merosotkan segala sektor yang mengakibatkan berlaku ketidaktentuan pekerjaan di kalangan rakyat.
“Oleh itu, atas nasihat KKM dan MKN, kerajaan hanya akan melaksanakan PKPB atau PKPD di kawasan zon merah sahaja seperti yang akan dimulakan mulai esok,” katanya. – MalaysiaGazette
Kawsan selangor boleh masuk ka
Adakah penduduk Negri selangor perlu patuh pkpb Dan masih dilarang rentas daerah/Negri.