PADA tanggal 16 November 2020, terdapat usul di Parlimen untuk mempertimbangkan supaya Akta Anti Berita Tidak Benar 2018 digubal semula. Akta ini telahpun menjadi antara the first order of business kerajaan Pakatan Harapan untuk dimansuhkan, dan sekitar akhir 2019, perkara ini telah direalisasi. Peruntukan sedia ada di dalam Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Kanun Keseksaan dikatakan telah cukup untuk membanteras berita palsu.

Namun, isu berita palsu seperti tidak pernah selesai, malah lebih dahsyat lagi semasa kita sedang menghadapi pandemik Covid-19 ini. Pelbagai inisiatif kini giat dilakukan, seperti Klik dengan Bijak dan program wacana mewarnai dada media sosial untuk meluaskan kefahaman awam tentang bahaya berita palsu.

Namun, izinkan saya memberi pendapat kepada persoalan samada perlunya Akta Anti Berita Tidak Benar ini dikembalikan. Akta Anti-Palsu Berita 2018 mungkin merupakan satu undang-undang yang agak terburu-buru yang pernah dibuat dalam sejarah perundangan Malaysia. Rang Undang-Undang ini dibentangkan pada 27 Mac 2018 dan hanya memerlukan dua minggu untuk dibahaskan, diluluskan dan diwartakan, iaitu pada 11 April 2018.

Secara umum, Seksyen 4 (1) melarang mana mana individu untuk membuat, menawarkan, menerbitkan, mencetak, atau menyebarkan berita palsu. Bagaimanapun, perbuatan ini mestilah dilakukan dengan sengaja untuk seseorang didapati bersalah dibawah peruntukan ini. Sekiranya seseorang tidak mengetahui atau tidak menyedari bahawa maklumat yang dikongsi dalam talian adalah palsu, maka dia tidak melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4. Tambahan pula, sesiapa yang memberikan bantuan kewangan untuk membantu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4, sama ada secara langsung atau tidak langsung, juga boleh didapati bersalah di bawah Seksyen 5.

Selanjutnya, akta ini memberikan hak kepada individu yang teraniaya untuk membuat permohonan secara ex parte kepada mahkamah supaya mengeluarkan perintah penghapusan penerbitan palsu. Uniknya disini, pihak yang menerima perintah mahkamah ini perlulah menurunkan kandungan tersebut dengan seberapa segera sesuai dengan sifat kandungan digital yang boleh berubah setiap saat. Jika pihak itu berpendapat bahawa berita itu bukanlah palsu, maka dia boleh membuat permohonan kepada mahkamah untuk mengetepikan perintah tersebut.

Namun begitu, sekiranya penyebar berita palsu gagal menghapuskan berita palsu selepas perintah mahkamah tersebut dibuat, mahkamah boleh mengarahkan polis atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk menghapuskan penerbitan tersebut. Namun, apakah mekanisme langkah-langkah itu tidak dijelaskan secara spesifik oleh akta ini.

Sesetengah peruntukan di negara lain mengkhususkan tindakan secara pentadbiran boleh diambil, umpamanya notice and takedown yang berunsur lebih demokratik sesuai dengan amalan global. Tindakan secara pentadbiran ini dilihat lebih responsif (berbanding tindakan di mahkamah) bagi mana-mana agensi atau individu yang terkesan dengan berita palsu itu, mengambil kira kepantasan teknologi digital yang boleh berubah setiap saat.

Seksyen 8 (3) memperuntukkan bahawa tiada permohonan mengetepikan perintah penghapusan boleh dibuat jika ianya datang dari Kerajaan. Secara umumnya, peruntukan ini bertujuan untuk menjamin kedudukan kerajaan dalam membenteras berita palsu berkenaan isu berkepentingan awam dan dilihat wajar. Namun, adalah lebih baik jika peluang untuk membuat permohonan mengetepikan perintah penghapusan berita palsu
turut diberi kepada mana-mana pihak untuk melaksanakan kebebasan bersuara secara bertanggungjawab. Hal ini selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara dalam kerangka perundangan yang telah ditetapkan.

Akta ini meletakkan betapa pentingnya peranan mahkamah dalam menentusahkan sesuatu kandungan. Namun, jika diimbas semula proses tersebut, boleh jadi mahkamah akan dibanjiri kes-kes untuk menentusahkan segala jenis berita di Internet yang tidak berkesudahan. Hal ini perlu dinilai semula kesesuaiannya demi menjamin keadilan terlaksana. Pihak berkuasa perlu memastikan bahawa setiap tindakan adalah selaras dengan peruntukan perundangan sedia ada supaya budaya semak imbang sentiasa subur.

Secara peribadi, saya berpendapat cadangan untuk mengembalikan akta ini seharusnya diteruskan dengan penambahbaikan yang perlu. Tentunya dalam era Revolusi Industri 4.0, kita perlu mendokong kebebasan bermaklumat dalam kerangka perundangan yang ditetapkan dan penapisan Internet (censorship) secara rawak perlu dielakkan. Maka, akta ini perlu diperkenal semula dan ditambah baik dari masa ke semasa, selaras dengan hasrat kearah pendigitalan negara.

Oleh: Dr. Mahyuddin Daud
Pensyarah Kanan (Undang-undang Siber) di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast