KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB)  membuka bilik gerakan dan menggerakkan pasukan di kawasan yang terjejas akibat banjir yang melanda beberapa negeri terutama di Pantai Timur.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, bilik gerakan berkenaan terletak di Kuala Terengganu, Marang, Kuala Berang, Besut dan Setiu.

Katanya lagi, selain itu 14 set janakuasa bakal digerakkan ke kawasan terjejas akibat banjir.

“Bilik Gerakan kami di Kuala Terengganu, Marang, Kuala Berang, Besut dan Setiu di Terengganu telah diaktifkan selaras dengan pembukaan Bilik Gerakan Pengurusan Banjir Daerah Terengganu bermula Khamis.

“Bekalan elektrik di Pusat Penempatan Semula mangsa banjir berada dalam keadaan baik. Sebanyak 14 set janakuasa berada dalam keadaan tunggu sedia untuk digerakkan ke kawasan yang terjejas akibat banjir sekiranya bekalan tidak dapat diberikan melalui sistem grid,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah beliau, pasukan teknikal TNB juga giat memantau situasi pemasangan TNB di kawasan yang terjejas banjir.

“Jika ada pencawang elektrik yang ditenggelami air, bekalan elektrik dihentikan sementara demi keselamatan semua. Penyambungan semula hanya akan dibuat selepas keadaan dipastikan selamat,” katanya lagi.

Menurut Baharin, TNB telah melakukan persiapan rapi dan awal bagi memastikan pengurusan bencana banjir oleh TNB ketika musim tengkujuh kali ini teratur dan berada pada tahap
terbaik.

Selain mengadakan mesyuarat kordinasi banjir bersama pihak pengurusan bencana di setiap negeri, TNB juga menjalankan sesi latihan bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan warga kerjanya.

Dalam pada itu, Baharin berkata TNB meninggikan tapak pencawang dan membina penghadap banjir di penjawang bagi kawasan yang berisiko.- MalaysiaGazette