KUALA LUMPUR – Malaysia mencatatkan pertambahan kes positif Covid-19 terbaharu hari ini sebanyak 1,335.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan pertambahan itu, kes positif wabak berkenaan di negara ini mencatat jumlah 72,694 kes dengan kadar kebolehjangkitan sebanyak 11,039 kes.
Katanya, bilangan kes sembuh pula adalah sebanyak 1,069 kes dan jumlah itu menjadikan kes pulih daripada Covid-19 adalah 61,273 kes.
“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat tiga kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala
penularan Covid-19 dalam negara pula adalah 1,332 kes.
“Negeri-negeri di Lembah Klang melaporkan jumlah kes harian sebanyak 515 kes dan daripada jumlah itu, Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 337 kes.
“Ini diikuti oleh Negeri Sembilan sebanyak 258 kes dan Sabah sebanyak 250 kes,” katanya menerusi kenyataan berhubung perkembangan terbaharu Covid-19 hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 243 kes atau 18.2 peratus yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (141 kes), Kluster Tembok (92 kes),
Kluster PTS Sibuga (7 kes), Kluster Bakti (2 kes) dan Kluster Rumah Merah (1 kes).
Tambah beliau, terdapat dua lagi kes kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah yang meninggal dunia akibat wabak berkenaan iaitu 382 kes.
“Sehingga kini, terdapat 126 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 57 kes
memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. – MalaysiaGazette