Presiden Pertubuhan Badan Amal Warga Asnaf Malaysia, Amilludin Latif menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf pada Program Penyerahan Bantuan Covid-19 di Flat Sentul Utama, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 06 DISEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Seramai 65 asnaf dan golongan diberhentikan kerja yang mendiami Flat Sentul Utama hari ini menerima bantuan barangan keperluan harian daripada Badan Amal Warga Asnaf Malaysia.

Ia merupakan usaha amal oleh badan bukan kerajaan (NGO) dalam menyantuni golongan terbabit yang sememangnya terkesan ketika pasca Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

Presiden NGO berkenaan, Amilludin Latip berkata, sumbangan yang diterima daripada individu tertentu termasuk syarikat-syarikat korporat itu adalah sebagai menyantuni mereka dalam suasana yang amat getir ketika ini.

Katanya, bukan sahaja asanaf dan mereka yang kehilangan pekerjaan sebaliknya sumbangan berkenaan turut diberikan kepada golongan Orang kelainan Upaya (OKU) yang turut tinggal di flat tersebut.
“Ini merupakan misi yang kelapan kita memberikan sumbangan yang sedemikian dan selepas ini kita akan sentiasa menyantuni golongan terbabit.

“Pertubuhan ini bukan sahaja memberi sumbangan kepada golongan sasaran di Selangor ataupun Kuala Lumpur malah, kita juga akan melakukan perkara sama di negeri-negeri lain,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas majlis penyerahan sumbangan berkenaan di sini hari ini.

Amilludin berkata, pihaknya banyak menerima sumbangan daripada penderma meskipun usia pertubuhan itu baharu sahaja menjangkau tiga bulan selepas mendapat kelulusan daripada pejabat pendaftar pertubuhan (RoS).

Pengerusi Kelab Rukun tetangga (KRT) Sentul Utama, Suraya Razak berkata, pihaknya saling berkait rapat dengan NGO berkenaan demi membela mereka yang tidak bernasib baik.

Katanya, kerja amal itu akan sentiasa dilakukan dan ia merupakan satu usaha murni yang patut dijadikan contoh kepada masyarakat.

“Kami berharap agar penerima bantuan akan merasa ceria dengan sedikit usaha yang kami lakukan buat mereka itu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Sentul Utama, Mohd Jiwa Khairi berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan langkah yang diambil oleh berkenaan yang sangat prihatin terhadap golongan kurang bernasib baik di flat tersebut.

Ujarnya, banyak juga pihak yang memberi sumbangan selepas mereka mengetahui ramai dalam kalangan penghuni di sini terkesan dengan masalah ekonomi ekoran daripada situasi yang semua orang ketahui.

“Saya mewakili penduduk di flat di sini sangat terharu dan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada para penyumbang yang benar-benar memahami kesusahan yang dihadapi oleh penghuni golongan asnaf dan mereka yang terkesan dengan keadaan semasa.

“Saya juga berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang bagi meringankan beban serta mengukir senyuman kepada golongan yang sememangnya merasai keperitan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast