Pengerusi Kemensah Resident Committee (KRC), Mohd Fazil Abdullah bersama penduduk yang lain memegang kain rentang berhubung bantahan penduduk terhadap projek pembangunan perumahan di Jalan Melati Indah 1, Kemensah Height, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 06 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Bimbang cadangan projek pembangunan perumahan di kawasan lereng bukit, para penduduk sekitar Kemensah Heights hari ini meluahkan bantahan mereka.

Bantahan itu dilakukan ke atas permohonan kebenaran merancang bagi membina sebanyak 219 unit pangsapuri serta 55 unit pangsapuri Selangorku Mukim Ulu Kelang oleh pemaju Binastra Land Sdn Bhd.

Kemensah Resident Comitee (KRC) tampil membantah cadangan tersebut kerana mereka risau seandainya pemaju berjaya mendapat persetujuan dari kerajaan, kemungkinan pelbagai tragedi serta krisis alam sekitar akan berlaku.

Tapak projek pembangunan perumahan di Jalan Melati Indah 1, Kemensah Height, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 06 DISEMBER 2020.

Antaranya, kejadian tanah runtuh kerana lokasinya yang berada di lereng bukit – lagi pun insiden sedemikian sering berlaku sejak dahulu lagi di kawasan berdekatan.

Malah ketenteramaan serta kesesakan lalu lintas yang teruk akan berlaku memandangkan populasi di kawasan yang sememangnya sudah padat itu.

Pengerusi KRC, Mohd Fazil Abdullah kecewa dengan cadangan pemaju yang pastinya sudah membuat tinjauan terlebih dahulu apakah kesan untuk menjalankan sebarang pembangunan di kawasan itu.

“Populasi penduduk seandainya pangsapuri Skyvilla dan Rumah Selangorku akan bertambah sekurang-kurangnya 1,3000 orang. Tidak cukup dengan itu tambah pula pertambahan kereta 1, 500 buah.

“Kami percaya hanya 400 buah lot untuk parkir kereta akan disediakan, yang lain sekurang-kurangnya perlu diletakkan di luar pula dengan jalan sempit. Juga pelan untuk membina parkir bertingkat yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

“Anda semua sedia maklum keadaan rumah di lereng bukit kemudian cadangan untuk membina pula pangsapuri seperti ini. Lot cerun bukit memang bahaya tidak sesuai langsung dibuat pembangunan jadi bagaimana pula dibenarkan?

“Jalan masuk ke kawasan ini dari Desaku hingga Pesona Villa sangatlah sempit, curam dan tidak mampu menampung langsung lebihan kenderaan nanti. Fahamkah apa yang akan berlaku kelak?

“Projek ini sangat bahaya, jika ada pembangunan ianya juga akan mendatangkan  mudarat kepada rumah-rumah disekitar tempat ini, retakan, kemungkinan tanah runtuh juga amatlah tinggi.

“Kita tidak mahu satu lagi tragedi seperti ‘Highland Towers’ dengan kehilangan nyawa berlaku lagi kerana ketaksuban kita sendiri jadi tolonglah,” katanya dalam sidang media hari ini.

Pengerusi Kemensah Resident Committee (KRC), Mohd Fazil Abdullah bercakap pada sidang media berhubung bantahan penduduk terhadap projek pembangunan perumahan di Jalan Melati Indah 1, Kemensah Height, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 06 DISEMBER 2020.

Sidang itu turut dihadiri oleh pengasas Kemensah Heights, Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh selain wakil penduduk dari 30 taman sekitar Kemensah Heights dan juga Taman Melawati.

Kata Mohd Fazil lagi, adalah tidak wajar untuk Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) meluluskan pembangunan berdensiti tinggi sedangkan jalan sedia ada adalah untuk densiti rendah.

Jelas beliau, seharusnya MPAJ mengenakan syarat kepada pemaju densiti tinggi untuk melebarkan jalan masuk keluar atau MPAJ sendiri merancang untuk menyediakan dan naik taraf jalan utama Kemensah Heights.

Dalam pada itu, Wan Mahmood  terkejut dengan cadangan pembinaan pembangunan perumahan yang pastinya akan mengganggu ketenteramaan dan keselamatan setempat.

Pengasas Kemensah Heights, Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh bercakap pada sidang media berhubung bantahan penduduk terhadap projek pembangunan perumahan di Jalan Melati Indah 1, Kemensah Height, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 06 DISEMBER 2020.

“Apabila Kemensah Heights ini mula dirancang sekitar tahun 70-an yang pada ketika kawasan ini adalah kebun getah berhampiran Banjaran Titiwangsa, kita sasar sebuah taman yang bebas dari kesesakan dan kesibukan bandar.

“Sebagai taman di lereng bukit, kita mesti jaga keselamatan cerun bagi elak tanah runtuh dan juga aliran air hujan yang jika tiada pokok serta kehijauan akan mencurah ke tanah rendah sehingga mengakibatkan banjir kilat.

“Cadangan ini jika mendapat kelulusan akan timbulkan lebih banyak masalah kritikal malah sebarang sendiri sudah berlakunya keadaan sesak sehingga kemalangan  berhadapan Masjid al-Iman.

“Alasan yang mengatakan papan tanda untuk mengemukakan bantahan daripada penduduk telah lama dipamerkan adalah tidak mencukupi, pada pandangan saya PBT perlu menghantar surat untuk kemukakan bantahan kepada setiap penduduk berkepentingan,” tegasnya.

Hampir rata-rasa penduduk yang hadir pada sidang media tadi juga meluahkan rasa tidak berpuas hati dan bimbang seandainya kelulusan tetap diberikan bagi projek pembangunan di Kemensah Heights ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast