Mayat Ibrahim Dasuqi ditutup dengan kain putih di kilometer 27.2 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), petang semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang penghantar  Grab Food maut selepas digilis sebuah treler dalam kejadian di kilometer 27.2 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) petang semalam.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu kenyataan memaklumkan, penunggang berusia 23 tahun yang dikenali sebagai Ibrahim Dasuqi Sudin meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Mangsa baru menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Mara dan mula bekerja sebagai penghantar Grab Food dua minggu lalu.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati, kemalangan berlaku semasa mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dari arah Putrajaya/Puchong berada di sebelah kiri treler berkenaan dan disyaki telah hilang kawalan lalu jatuh berguling di bawah treler terbabit.

“Akibat daripada itu mangsa telah digilis oleh treler jenis Volvo terbabit. Mangsa dan juga treler adalah dari arah yang sama,” demikian menurut kenyataan itu.

Katanya lagi, pemandu treler berusia 35 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan lokasi kemalangan merupakan jalan lurus serta mempunyai empat lorong menghala ke Kajang.

Semasa kejadian berlaku keadaan lebuh raya adalah kering dan permukaan jalan juga rata, ujarnya.

Tambah kenyataan itu lagi, mayat mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Serdang untuk tindakan lanjut dan waris mangsa juga telah dihubungi.

Kedua-dua kenderaan yang terbabit dalam insiden berkenaan ditahan untuk pemeriksaan dan siasatan bagi kes tersebut dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis meminta saksi kejadian agar tampil memberikan kerjasama dalam membantu siasatan kes berkenaan. – MalaysiaGazette