Kira-kira 20 individu yang ditahan berpesta liar di dua lokasi berlainan di dua kondominium mewah Dang Wangi sekitar jam 1 hingga 2 pagi hari ini.Foto: IPD Dang Wangi.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita antara 20 individu yang ditahan polis kerana berparti liar di kondominium mewah dan dikesan di bawah pengaruh dadah.

Ketua Polis Daerah Wang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesemua suspek ditahan polis dalam dua operasi serbuan di dua lokasi lain di ibu negara.

Katanya, pukul 1 pagi, Pasukan Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik IPD Dang Wangi telah membuat dua serbuan berasingan di sebuah kondominium mewah di Jalan Sultan Ismail.

“Di dalam serbuan pertama, seramai enam orang warga tempatan terdiri daripada lima lelaki lelaki dan seorang wanita berumur dalam lingkungan 21 tahun hingga 27 tahun  ditangkap.

“Hasil pemeriksaan di dalam unit rumah tersebut berjaya menjumpai satu bungkusan kertas timah mengandungi daun-daun kering disyaki dadah ganja anggarat seberat 2.05 gram, dua foil aluminium warna merah/perak disyaki berisi dua biji pil eramin 5 anggaran berat 0.6 gram.

“Turut ditemui serbuk warna putih disyaki dadah ketamin satu gram), sebotol plastik disyaki alat untuk menghisap dadah ganja dan satu paket plastik lutsinar berisi sebiji pil ekstasi yang telah pecah anggaran satu gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Seorang wanita antara 20 individu tempatan ditahan berparti liar di dua kondominium mewah berbekalkan dadah dalam kejadian jam 1 dan 2 pagi hari ini. Foto: IPD Dang Wangi

Tambah Zainal, keenam-enam suspek dilibatkan dalam ujian saringan air kencing dan mendapati seramai empat lelaki positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

Kesemua suspek direman dua hari sehingga esok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12 (3), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 .

Ujar beliau, serbuan kedua telah dilakukan pasukannya sejam kemudian iaitu pada jam 2 pagi.

“Hasil pemeriksaan seramai 14 pemuda warga tempatan berumur dalam lingkungan 20 tahun hingga 27 tahun telah ditangkap.

20 individu tempatan berparti liar berbekalkan dadah dalam dua serbuan lain di dua kondominium di kawasan Jalan Sultan Ismail, pagi hari ini.Foto: IPD Dang Wangi.

“Hasil saringan mendapati seramai 13 orang daripadanya positif dadah jenis methamphetamine, tetrahydrocannabinol dan ketamin,” ujar beliau.

Tegas Mohamad Zainal, kesemua mereka dibenarkan reman selama sehari iaitu 6 Disember 2020 untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15 (1) (a) ABD 1952.

Justeru, beliau memohon kerjasama daripada orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkenaan aktiviti pesta liar (private party) di kawasan sekitar Dang Wangi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.-MalaysiaGazette