Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kes positif baharu Covid-19 terus mencatatkan pertambahan sebanyak empat digit dengan yang terbaru hari ini sebanyak 1,600 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan tersebut menjadikan kes positif wabak itu di negara ini sebanyak 74,294 kes.

Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 11,604 kes, katanya.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat tiga kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala
penularan Covid-19 dalam negara pula adalah 1,597 kes.

“Negeri Sembilan melaporkan jumlah kes harian tertinggi pada hari ini iaitu sebanyak 541 kes atau 33.8 peratus, diikuti oleh negeri Selangor 426 kes atau 26.6 peratus dan Sabah 248
kes atau 15.5 peratus,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, lonjakan kes di Negeri Sembilan adalah disebabkan oleh pertambahan kes dalam Kluster Bakti iaitu sebanyak 500 kes atau 92.4 peratus daripada jumlah kes keseluruhan di negeri tersebut.

Tambahnya, kes-kes tersebut adalah terasing di dalam kawasan penjara.

Dalam pada itu Noor Hisham memaklumkan, terdapat pertambahan dua kes kematian Covid-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia adalah sebanyak 384 kes atau 0.52 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sehingga kini beliau berkata, terdapat 129 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi di mana 57 kes memerlukan bantuan pernafasan. – MalaysiaGazette