Super Dron
Gambar hiasan

KALAU terlambat, pasti kita akan tertinggal! Begitulah juga dengan perkembangan
teknologi zaman berzaman yang berubah dengan begitu pesat dan laju.

Sekiranya tiada pandemik COVID-19 di tahun 2020 ini, sudah pasti Revolusi Industri
(IR4.0) akan menjadi ‘pandemik’ dalam media cetak, elektronik, program-program
kerajaan dan swasta dan cakap-cakap di kedai kopi.

Pelaksanaannya? Tidak boleh jamin bahawa pelaksanaan penggunaan teknologi
yang seiring dengan IR4.0 ini mampu diasimilasi dalam kehidupan seharian komuniti
kita setiap hari.

Namun, usaha tetap ada dan pasti akan berterusan dalam memastikan komuniti di
sekeliling kita menggunakan teknologi yang selari dengan IR4.0 dalam sektor
pekerjaan khususnya.

Menyentuh soal pekerjaan, antara bidang pekerjaan yang paling dilihat
terkebelakang atau bercirikan tradisional adalah bidang pertanian. Justeru,
mampukah bidang pertanian merebut peluang yang disajikan dalam kemajuan IR4.0
ini untuk memperkukuhkan lagi produktiviti pertanian?

Jika anda terus bersifat skeptikal dengan bidang pertanian yang dianggap kuno dan
tidak mampu menepati ciri-ciri IR4.0, ternyata anda telah membuat kesilapan yang
cukup besar dan kolot.

Masih ramai yang tidak tahu bahawa bidang pertanian juga sudah melepasi evolusi
dan transformasinya yang tersendiri dalam memaksimumkan penggunaan teknologi
di produk pertanian.

Salah satunya adalah penggunaan dron atau pesawat tanpa pemandu (UAV) dalam
industri penanaman padi bagi menggantikan kaedah penyemburan racun serangga
secara manual yang diamalkan oleh atuk nenek kita suatu ketika dahulu.

Sebenarnya jangan kita tidak percaya, kaedah ini sudah semakin popular dalam
komuniti yang meminatinya. Penggunaan dron ini bukan sahaja mampu
mengurangkan kebergantungan tenaga kerja malah membantu petani menjimatkan
kos dan masa.

Lebih menarik lagi, jika sebelum ini pekerjaan berunsur alam atau pertanian ini amat
jarang menarik minat anak muda untuk menceburuinya, namun dengan adanya
penggunaan dron ini ia sedikit sebanyak dapat menarik minat mereka yang masih
muda untuk menjadi petani moden zaman IR4.0.

Benarkah penggunaan dron dalam pertanian khususnya penanaman padi banyak
manfaat?

Jawapannya sudah pasti ya! Ia bukan saya dapat mengurangkan penggunaan
tenaga kerja dan menjimatkan masa, malah teknologi dron untuk penggunaan input
pertanian dalam jangka masa panjang.

Sebagai contoh, penggunaan dron untuk menyembur racun bagi keluasan satu
hektar kawasan tanaman padi hanya memerlukan masa sekitar 20 minit berbanding
kaedah manual iaitu lebih sejam bagi keluasan yang sama. Tidakkah ini cukup
berbaloi?

Dari segi kos pula, untuk keluasan satu hektar kos penggunaan dron dianggarkan
antara RM60 hingga RM70, berbanding membayar upah tenaga kerja iaitu kira-kira
RM120 bagi keluasan sama dan memerlukan masa yang lebih lama.

Penanaman anak benih, penaburan baja dan racun serangga dan bermacam lagi
manfaat tambahan dapat diperoleh oleh pengusaha pertanian sekiranya mereka
bertukar dari cara lama ke cara baharu menerusi teknologi IR4.0 ini.

Yang lebih seronoknya, ia bukan sahaja terhad untuk penggunaan penanaman padi,
malah apa jua jenis tanaman renek dan yang bersesuaian boleh menggunakan
‘serangga kecil’ ini untuk berbakti. Nak jadikan dron sebagai ‘Pak Guard’ pun tidak
mustahil suatu hari nanti.

Malangnya, di negara kita yang kononnya mencapai negara berstatus maju pada
tahun 2020 ini, masih ramai pihak yang sangsi dan berasa tidak yakin dengan
penggunaan dron untuk bidang pertanian.

Seandainya mereka menerima kehadiran dron dalam kehidupan sekali pun, mereka
masih menganggap dron itu hanya sekadar mainan hobi untuk mengisi masa
lapang.

Kita harus ingat, disekitar tahun 2007 dahulu pun, laman Facebook turut dianggap
sebagai salah satu medium untuk mengisi masa lapang dan bersifat ‘kebudak-
budakan’, namun lihatlah sendiri revolusi yang dicipta Facebook sehingga ke hari ini
ia bukan sahaja mampu mencipta jutawan, malah di setiap agensi kerajaan pun
‘wajib’ wujudkan paling tidak satu akaun Facebook.

Siapa cepat dia dapat, jadikan penggunaan dron pada hari ini sebagai salah satu
kaedah membantu mengurangkan kos dan penggunaan tenaga kerja manusia untuk
bidang kerja anda.

SARFARIZMAL MD SAAD
Setiausaha Agung
Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast